utama

'Maaf diterima, tapi mereka tetap syahid'

Oleh Isma Ismail dan Baharom Bakar

PRESIDEN PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa 14 mangsa terkorban di Memali, Baling sebagai 'mati katak' sebagai terlanjur kata.

Malah, Abdul Hadi menerima permohonan maaf yang dibuat Dr Mahathir selepas menyedari kesilapannya membuat kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ulama yang hidup ketika kejadian dan menyaksikan peristiwa itu sudah membuat keputusan bahawa semua mangsa diuruskan sebagai mati syahid.

Menurutnya, pihaknya juga sudah bermuzakarah dan membuat keputusan bahawa mangsa terkorban di Memali itu juga sebagai mati syahid.

“Kerajaan pada masa itu bersalah dalam mengambil tindakan, sepatutnya jika mahu ditahan mengikut ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) perlu ada prosesnya. Nak tangkap komunis pun ada proses-prosesnya.

“Kemudiannya mereka ini tidak bersenjata, nak kata mereka tembak polis memang tidak betul kerana mana mereka ada senapang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sembang Santai 'Saya Tanya, Ayah Chik Jawab' di Taman Rekreasi Awam Lagun Kuala Ibai, Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Mahathir membuat dakwaan itu ketika Ceramah Perdana Bersama Calon PKR di Lembah Pantai, malam semalam.

Beliau kemudian membuat permohonan maaf mengenai kenyataannya itu ketika sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam, hari ini.

Abdul Hadi berkata, Dr Mahathir bukan dalam bidang agama dan muzakarah sudah memutuskan bahawa 14 individu yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 itu sebagai mati syahid.

“Kita tetap menganggapnya sebagai syahid kerana dalam Islam ada pelbagai. Mati dalam kemalangan jalan raya atau mati lemas juga boleh dikatakan sebagai syahid,” katanya.

Berita berkaitan

Tun M minta maaf dakwaan 'mati katak' [UPDATE]

'Kenyataan Tun M menguris hati kami'

'Penghinaan melampau.. '

Mangsa Memali 'mati katak', bukan mati syahid - Dr M

Disiarkan pada: May 4, 2018 @ 7:34pm
d