utama

Motivasi teruskan kehidupan

Oleh Michelle Gun

Pertemuan dengan seorang sami ketika melawat Myanmar pada 2012 menjadi inspirasi Jason Mraz menghasilkan single barunya, Have It All.

Pemuzik berusia 40 tahun itu turut mendapat doa daripada sami Buddha berkenaan.

Sebelum ini, Mraz banyak meluahkan kekecewaanya terhadap pelbagai isu yang berlaku di dunia menerusi lagu.

“Keadaan dunia banyak berubah sejak 2012. Tahap kesedaran orang ramai terhadap hak kebebasan, kesaksamaan dan bersuara semakin meningkat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Penyanyi Amerika Syarikat itu mendedahkan menulis banyak lagu yang meluahkan rasa marah, kecewa dan sedih.

“Gerakan aktivis semakin rancak. Biarpun banyak mencipta lagu sedemikian, saya mendapati tiada karya sesuai untuk diketengahkan ke depan,” katanya.

Jelas Mraz, lagu Have It All memberi sinar kepada pendengar ketika dunia berdepan pelbagai ancaman.

“Diharapkan lagu ini dapat mengubati hati pendengar dan memberi semangat kepada mereka untuk meneruskan kehidupan.

“Lagu ini menyelitkan mesej murah hati dan ia seharusnya diperdengarkan kepada semua,” katanya.

Video muzik video Have It All mencatat lebih 833,000 tontonan di YouTube sejak dilancarkan pada 26 April lalu.

Perkenalan album kedua Mr A-Z pada 2005 melonjakkan lagi nama Mraz di peringkat antarabangsa.

Begitu juga dengan album ketiga We Sing. We Dance. We Steal Things yang mencapai kejayaan besar berikutan populariti single I’m Yours.

Antara pencapaian penyanyi itu termasuk menerima dua trofi Anugerah Grammy selain mencapai jualan Platinum dan Multi-Platinum di 20 negara.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 1:52am
d