utama

Nyawa diragut cinta tiga segi

Oleh Abdul Rahemang Taiming dan Nasrawati Syarifuddin

LELAKI mati ditetak disyaki dilakukan teman lelaki isterinya dalam kejadian di sebuah rumah di Blok 03, Kampung Murai, Ladang Kretam, Tawau, pagi semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa Amir Mappiase, 35, maut akibat kecederaan parah selepas ditetak pada bahagian leher.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima panggilan daripada pengurus ladang yang menemui mayat lelaki dipercayai pekerja ladang dalam keadaan terbaring berlumuran darah pada 1.15 tengah hari.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang baru pulang mendapati suspek dan isterinya berdua-duaan di rumah sebelum berlaku pergaduhan antara mereka.

“Suspek berumur 21 tahun dikatakan menetak leher mangsa menggunakan parang dan kemudian melarikan diri melalui pintu belakang menuju ke kawasan ladang sawit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, Fadil berkata, hasil maklumat dan bantuan penduduk kampung sepasukan anggota dari Balai Polis Kalabakan menahan suspek yang bersembunyi di kawasan ladang, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Katanya, polis turut menemui tiga bilah parang panjang berukuran 44, 53 dan 70 sentimeter dipercayai digunakan suspek ketika menetak mangsa.

“Mangsa yang berasal dari Indonesia bekerja di ladang terbabit selama sembilan tahun manakala suspek bekerja di situ sejak setahun lalu.

“Susulan kejadian itu, polis sedang mengesan isteri mangsa dikenali sebagai Ani Beddu, 42, yang juga warga Indonesia untuk membantu siasatan kerana wanita terbabit dipercayai melarikan diri sejurus kejadian itu,” katanya.

Fadil berkata, polis percaya motif kejadian adalah berpunca daripada hubungan sulit suspek dengan isteri mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Disiarkan pada: May 5, 2018 @ 8:44am
d