utama

Dadah RM4.8j di sebalik dinding

Oleh Teoh Pei Ying dan Nurul Hidayah Bahaudin

NIAT saki baki ahli kumpulan Ah Tee Jinjang untuk menjual dadah yang disembunyikan di sebalik dinding rumah sewa di Bukit Idaman, Batu Caves, Selangor, tidak kesampaian apabila methamphetamine seberat 96.7 kilogram bernilai RM4.8 juta itu dirampas polis, Khamis lalu.

Rahsia itu terbongkar selepas polis menahan wanita bersama tiga lelaki di hotel di Jalan Pasar Baharu, Kuala Lumpur, kira-kira 7 malam, Rabu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, semua suspek yang berusia antara 36 hingga 53 tahun itu ditahan bersama sepeket dadah jenis methamphetamine di hotel berkenaan.

"Hasil soal siasat terhadap wanita tempatan berusia 36 tahun itu membawa kepada penemuan 96.7 kilogram dadah methamphetamine yang disembunyikan di sebalik dinding pada makmal dadah bawah tanah yang dibina sindiket terbabit di rumah sewa berkenaan pada 8.30 malam, Khamis lalu.

"Dadah itu dipercayai dihasilkan di rumah terbabit yang dijadikan makmal memproses dadah untuk pasaran di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, NSTP melaporkan polis menahan lima individu berusia 30 hingga 52 tahun termasuk ketua kumpulan Ah Tee Jinjang di rumah sewa itu yang dijadikan makmal memproses dadah, selain merampas lebih 17 kilogram dadah methamphetamine bernilai RM1.26 juta.

Mazlan berkata, pemeriksaan pihaknya sebelum ini tidak menemui dadah berkenaan yang disembunyikan di sebalik dinding berkeluasan 1.2 meter lebar, 0.6 meter dalam dan 3.1 meter tinggi.

"Kami terpaksa memecah dinding rumah terbabit sebelum menemui dadah berkenaan.

"Kami percaya saki baki ahli kumpulan ini sedang merancang untuk mendaptkan semula dadah berkenaan dengan menceroboh rumah sewa terbabit yang sudah disita pihak polis selepas serbuan pertama," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati wanita berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah.

"Selain itu, seorang daripada tiga lelaki yang ditahan dalam serbuan terbabit mempunyai rekod jenayah berkaitan samun dan dadah.

"Keempat-empat suspek didapati positif dadah methamphetamine. Mereka direman selama lima hari bermula Rabu lalu hingga hari ini dan akan disambung bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B dan Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 3:37pm
d