utama

Tauke sate berhati mulia

Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin

DEMI membantu golongan suri rumah menambah pendapatan, seorang pengusaha sate meluangkan masa berkongsi ilmu membuat makanan popular itu secara percuma menerusi Bengkel Menjana Ekonomi Jiran Wanita, di Kubang Pasu, hari ini.

Norliza Ali, 38, berkata, dia terpanggil untuk membantu meringankan beban dan menjana ekonomi keluarga.

“Dengan kemahiran dan sistem yang betul, perniagaan sate mampu memberi pulangan lumayan walaupun sekadar membekalkan sate mentah kepada peniaga lain,

“Sambutan hari ini amat memberangsangkan kerana kita jangkakan 40 peserta tetapi yang hadir lebih 140 orang,” kata Norliza ketika ditemui selepas kursus berkenaan yang berlangsung di gerainya di Kampung Seberang Jitra.

Kursus berkenaan mendapat kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jitra Utara dan Pejabat Perpaduan Daerah Kubang Pasu.

Menerusi kursus itu, peserta diajar cara memerap ayam dan mencucuk lidi serta membuat kuah sate dengan mudah.

Norliza pernah tular di media sosial kerana menjual sate dengan harga 25 sen secucuk dan pernah tersiar dalam Harian Metro pada 19 Ogos dan 10 September tahun lalu.

Katanya, berikutan kenaikan kos bahan mentah, sate kini dijual dengan harga 30 sen secucuk tetapi masih mendapat sambutan hangat.

Beliau turut menggalakkan peserta menjual pada harga itu kerana walaupun keuntungannya agak kecil, jualan pasti meningkat.

Berita berkaitan:

'Maafkan saya'

Sate 25sen

Disiarkan pada: May 6, 2018 @ 8:28pm
d