utama

Berdakwah cara Abang Bikers...

Oleh Amir Abd Hamid

MEREKA bukan sekadar menunggang untuk beriadah sebaliknya ahli kumpulan motosikal berkuasa tinggi, Sifu Bikers turut menggunakan kesempatan mengembara ke pelusuk negara untuk berdakwah.

Pengasasnya Hanafiah Abdul Malek berkata, sejak Sifu Bikers ditubuhkan pada 1 April 2015, lebih 300 ‘ride’ dakwah sudah dilaksanakan di seluruh negara.

Jihad mereka bukan sekadar di Semenanjung Malaysia, malah digerakkan hingga ke Sabah meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tinggi untuk menyewa motosikal berkuasa tinggi di negeri berkenaan.

Katanya, setakat ini kumpulan bermotosikal berkuasa tinggi itu mempunyai 180 ahli yang memiliki sekurang-kurangnya motosikal dengan enjin 500cc pelbagai model daripada pengeluar antarabangsa.

“Secara tak langsung, apabila banyak motosikal berkuasa tinggi parkir di masjid sesuatu lokasi, ramai belia berminat turut serta.

“Itulah tujuan utama Sifu Bikers menjelajah ke seluruh negara. Berdakwah dengan menggunakan jentera tunggangan yang digilai ramai sebagai alat menarik ramai belia mengimarahkan masjid,” katanya.

Menurutnya, antara golongan sasar dalam jihad mereka ialah ahli kelab motosikal lain di negara ini tidak kira berkuasa tinggi atau sekadar ‘kapcai’.

“Boleh dikatakan ramai ahli kumpulan motosikal ini sebenarnya mahu lebih mendekati Islam dan menjadi tanggungjawab kami mengajak mereka bersama-sama menghayati ajaran Islam,” katanya.

Beliau yang dikenali sebagai Ustaz Hanafi berkata, hasil dakwah yang dijalankan, ramai ahli kumpulan motosikal berminat mempelajari Islam dan menjalani kehidupan sebagai muslim sejati.

Katanya, usaha dilakukan itu mampu mengelakkan persepsi negatif terhadap penunggang yang kerap dikaitkan dengan pelbagai aktiviti tidak sihat dan gejala sosial.

“Dakwah kami membabitkan program mudah seperti Jom Cuci Masjid yang sudah 27 kali dianjurkan, dan ia memang membanggakan apabila disertai lebih 5,000 penunggang dari seluruh negara.

“Pada 12 Mei ini, program Jom Cuci Masjid akan diadakan di Masjid Kampung Karak Setia, Karak di Pahang dan kami akan berkumpul mulai 8 pagi di perkarangan Sri Pentas, Bandar Utama,” katanya.

Ustaz Hanafi berkata, beliau terharu sahabat karibnya sanggup meminjamkan motosikal BMW R 1200 RT kepadanya kerana dia terpaksa menjual Kawasaki GTR 1400 untuk membiayai rawatan kanser limfoma yang dihidapinya.

“Ada orang bimbang nak jemput saya berceramah sebab saya sakit. Namun sebenarnya, semangat saya akan lebih meningkat dengan menyampaikan dakwah.

“Saya berdoa diizinkan mati dalam keadaan berdakwah untuk mendekatkan manusia dengan Allah,” katanya.

Disiarkan pada: May 7, 2018 @ 10:53pm
d