utama

Atikah tenang lepas bertunang

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Semakin meningkat usia, semakin matang seseorang manusia.

Bagi pelakon Atikah Suhaime, dia kini melalui fasa baru dalam kehidupannya selepas bertunang dengan penyanyi Awi Rafael.

Menurut pelakon asal Singapura ini, wujud ketenangan dalam hatinya selepas bergelar tunang orang.

“Sebenarnya sebelum bertunang saya sudah mula dapat rasakan ketenangan itu. Bezanya sekarang perasaan itu lebih kuat,” katanya.

Pelakon berusia 27 tahun ini berkata, Awi banyak membantu menenangkan hatinya terutama selepas dia melalui pelbagai episod kontroversi.

“Saya pernah rasa seperti hilang arah, selepas dihambat pelbagai kontroversi. Masalah itu memang serius hingga saya terpaksa mendapatkan rawatan daripada pakar terapi.

“Menurut pakar yang merawat, saya perlu mencari seseorang yang dipercayai untuk meluahkan apa yang terbuku dalam hati,” katanya.

Kemudian Atikah yang sememangnya berkawan rapat dengan Awi menemui sesuatu dalam diri lelaki itu.

“Saya dekatkan diri dengan Allah dan kembali kepada al-Quran. Saya memang berkawan rapat dengan Awi dan apabila dia secara tiba-tiba ajak bertunang, saya rasa ada sesuatu untuk hubungan kami.

“Dia sentiasa ada dengan saya. Dia lebih banyak pengalaman dalam industri hiburan berbanding saya. Jadi dia kerap memberikan nasihat supaya saya menjadi kuat,” katanya.

Kehidupannya juga bertambah baik dengan adanya sokongan daripada tunangnya itu.

“Dia menyokong dan menggalakkan saya mengejar cita-cita. Kehidupan saya juga bertambah baik,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinan, Atikah berkata, mereka masih sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Buat masa ini, kami belum lakukan apa-apa persiapan perkahwinan memandangkan masing-masing sibuk,” katanya.

Ditanya mengenai Awi yang kini bergelar peserta program realiti Gema Gegar Vaganza (GGV) dan layak ke final program itu, Atikah berkata, dia mengakui bakal suaminya itu kini lebih mendalami agama.

“Walaupun dia penyanyi dan nampak seperti bintang rock dari luaran, tetapi dalamannya berbeza. Dia sering menasihatkan saya supaya sentiasa ingat dan kembali kepada agama kerana manusia takkan terlepas daripada melakukan kesalahan serta tersesat,” katanya.

Terbaru, Atikah kini sudah sebulan berada di Jakarta untuk menjalani penggambaran filem berjudul Antalogi Cinta terbitan syarikat produksi dari negara jiran itu.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 8:05am
d