utama

Raih kejuaraan di Singapura

Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Bekas petinju amatur negara, Adli Hafidz Mohd Fauzi semakin menyerlah dalam karier profesional apabila muncul juara kategori super middleweight dalam kejohanan KBX Boxing Evolution di Singapura, Sabtu lalu.

Pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu berjaya menewaskan petinju Indonesia, Akbar dengan kemenangan pukulan KO (knock out) pada pusingan pertama yang hanya mengambil masa dua minit 18 saat.

Sebelum ini, Adli yang bernaung di bawah Farkhan Promotion yang dikendalikan petinju profesional negara, Muhamad Farkhan Mohd Haron, melakar kemenangan pertama apabila menumbangkan petinju Thailand, Komsun Vongsurin dalam kategori lightweight bagi kejohanan di Bangkok, April lalu.

“Ini pertandingan kedua saya tahun ini dan saya bangga dengan pencapaian yang diraih. Nampaknya, penghijrahan saya ke profesional tampak berbaloi.

“Secara keseluruhan terdapat lima pertandingan yang harus saya sertai, dua pertandingan di Bangkok dan Singapura yang sudah saya lepasi dan kini perlu mengharungi tiga lagi pertandingan di Malaysia untuk memperbaiki ranking.

“Jika saya berada dalam ranking kelompok terbaik, maka peluang saya untuk memburu tali pinggang Asia Pasifik bagi kategori super middleweight cerah,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Adli berharap kejayaan itu mampu menutup mulut pengkritik selepas tewas kepada Marvin John Nobel Tupas dari Filipina pada final KL2017 dalam kategori 81 kilogram menerusi TKO (teknikal knock out).

Petinju kelahiran Johor itu berkata, sasaran utamanya adalah memenangi tali pinggang super middleweight bagi peringkat rantau Asia Pasifik pada tahun ini dan untuk mencapai keinginan itu, dia akan menjalani latihan di England.

“Saya akan ke England pada hujung November ini dan akan menjalani latihan di bawah bimbingan Mark Mulv di Kelab Tinju Knowsley Vale di Liverpool, selama dua minggu dan saya berharap dalam tempoh itu akan memantapkan lagi skil dan teknik saya,” katanya.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 8:22am
d