utama

Ramai dah balik mengundi [METROTV]

Oleh Mohd Hasbi Sidek

WARGA kota mula berpusu-pusu meninggalkan ibu kota untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab membuang undi di kawasan masing-masing.

Lebuh raya yang menghala ke negeri pantai timur mengalami peningkatan jumlah kenderaan sejak malam tadi apabila trafik mulai sesak kira-kira 9 malam sebelum sedikit reda menjelang tengah malam.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi Facebook rasmi mereka berkata, trafik di sekitar susur masuk ke Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) mulai perlahan malam tadi dan pagi ini.

"Trafik mulai perlahan sekitar susur masuk Plaza Tol Gombak dan sekitar terowong ke arah Genting Sempah pada 11.14 pagi.

"Trafik mulai perlahan sebelum masuk Plaza Tol Gombak dari Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), 9.42 malam (malam tadi)," katanya, hari ini.

Bagaimanapun, di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bagi kedua-dua hala keadaan trafik seperti biasa dan dijangka peningkatan jumlah kenderaan akan berlaku petang ini selepas tamat waktu kerja.

Ketua Komunikasi Korporat PLUS Mohd Nizam Ismail berkata, tiada peningkatan jumlah bilangan kenderaan dilaporkan sejak malam tadi sehingga tengah hari, hari ini.

"Keadaan lalu lintas seperti biasa. Kami menjangkakan jumlah kenderaan akan bertambah sebelah petang dan malam nanti selepas 5 petang," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, pengguna KLK yang dalam perjalanan balik ke Tumpat, Mahklufi Ismail, 34, berkata, keadaan trafik sesak di susur masuk ke Bandar Bentong dari KLK.

"Saya menggunakan jalan Bentong-Raub dan bertolak kira-kira 9 pagi tadi sebelum dijangka tiba di Tumpat malam nanti bergantung kepada keadaan lalu lintas.

"Keadaan di Bandar Bentong juga sedikit sesak selain di jalan biasa menuju ke Raub. Ramai yang mahu balik mengundi di kampung.

"Mungkin keadaan akan sedikit lega selepas masuk ke lebuh raya di Kuala Lipis yang berakhir di Merapoh," katanya yang pulang dengan dua lagi rakan senegeri.

Disiarkan pada: May 8, 2018 @ 1:13pm
d