utama

Pisau 'terbenam' pada pipi

Oleh Shamsul Munir Safini

WANITA parah selepas pipi kanannya ditikam dengan sebilah pisau sebelum dibiarkan ‘terpacak’, malam tadi.

Kejadian berlaku di Icon City, Bukit Mertajam antara 10 malam hingga 11 malam apabila mangsa, 20-an, dipercayai didatangi seorang lelaki.

Difahamkan, mangsa bekerja di sebuah premis di lokasi berkenaan dan ketika kejadian berada di kawasan gelap berdekatan.

Sumber berkata, mangsa bergelut dengan suspek yang dipercayai cuba melarikan barang berharga miliknya.

“Suspek bertindak menikam muka mangsa dengan pisau sebelum membiarkan senjata itu melekat di pipi wanita berkenaan.

“Lelaki itu kemudian melarikan diri, manakala wanita berkenaan yang parah dan berlumuran darah dibantu orang ramai,” katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata pihaknya masih menjalankan siasatan.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 2:25am
d