utama

Jaga hubungan dengan semua

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Populariti diraih penyanyi remaja Khai Bahar tidak perlu dipertikaikan lagi. Daripada seorang anak kampung, Khai kini menjadi orang ternama.

Namun, itu bukan alasan untuk Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 24, mendabik dada. Sebaliknya, setiap kejayaan dikecapi adalah cabaran untuk dia terus memajukan diri.

Namun begitu, lumrah menjadi orang dikenali, Khai tidak terlepas daripada isu namanya dipergunakan individu tertentu untuk kepentingan peribadi.

Menyedari masalah itu, Khai mengingatkan peminat dan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak mudah tertipu jika ada pihak menyamar menjadi pengurus selain yang rasmi.

“Saya dapat tahu perkara ini apabila ada yang menyampai. Malah, saya difahamkan pihak terbabit mengaku menjaga dan mengurus kerjaya seni saya. Kalau boleh saya tidak mahu ada masalah dengan sesiapa.

“Cuma, sebagai langkah berjaga-jaga ada baiknya saya mengingatkan kepada semua. Untuk makluman, ada dua nama pengurus rasmi seperti yang tertera pada profil laman Instagram saya. Mereka individu yang dilantik syarikat rakaman.

“Jika ada nama lain yang menghubungi atau berurusan membabitkan saya, perlu diselidik dahulu. Saya tidak mahu timbul masalah lain kerana akhirnya nama saya juga yang busuk,” katanya.

Khai yang kini popular dengan lagu Luluh berkata, dia bimbang jika ada pihak yang termakan pujuk rayu individu tidak bertanggungjawab itu hingga memburukkan namanya.

“Saya menyertai industri muzik dengan cara baik. Kalau boleh, saya ingin segalanya berjalan lancar tanpa wujud sedikit pun rasa negatif. Sejujurnya, saya takut jika perkara sebegini tidak dibendung lebih awal.

“Saya tidak mahu disebabkan satu pihak yang menimbulkan masalah orang beranggapan ia berpunca daripada saya. Seboleh-bolehnya saya ingin menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Saya tidak mahu ada musuh dalam bidang ini.

“Kalau pun ada yang tidak sukakan saya, itu hak mereka. Saya tidak ada hak untuk paksa mereka menyukai saya. Apa yang penting, saya laksanakan kerja seperti dipertanggungjawabkan dan berbuat baik dengan semua orang,” katanya.

Nasihati peminat

Tidak hanya berpesan untuk diri sendiri, Khai yang memenangi kategori utama Top Top MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 lalu turut mengingatkan dan menasihati peminatnya supaya menjaga adab sama ada ketika hadir menyokong persembahannya atau di laman sosial.

Khai berkata, dia tidak mahu peminatnya terutama dalam kalangan kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) dilabel kurang ajar, sekali gus mencemarkan nama dan imej dibawa.

“Sebagaimana mereka menyayangi saya, begitu juga saya, malah lebih lagi. Disebabkan itu, saya sentiasa mengingatkan mereka supaya jaga tingkah laku terutama di laman sosial.

“Saya tidak mahu ada komen negatif keluar daripada mereka hingga membuatkan keadaan jadi keruh. Kalau boleh, dalam hidup ini biarlah saling berkasih sayang. Tidak rugi pun.

“Biarlah orang nak berkata buruk mengenai saya, asalkan mereka tidak membalas. Saya sendiri tidak pernah layan atau ambil kisah komen keterlaluan yang dilemparkan,” katanya.

Pada masa sama, Khai yang muncul dengan single baru Rahsia Kita duet dengan Fatin Husna berkata, peminat cerminan seseorang artis yang diwakili.

“Orang selalu cakap, peminat membawa imej artis. Jangan disebabkan sikap peminat, artis berkenaan dikecam. Jadi, tidak salah jika saling mengingatkan antara satu sama lain.

“Kalau ada perkara tidak betul mereka lakukan, saya akan tegur. Saya tidak mahu ia berlanjutan hingga menimbulkan masalah lain.

“Saya puji sikap peminat dalam kalangan KBE yang bertanya sendiri jika ada berita tidak benar tersebar,” katanya.

Berlakon?

Jika rakan seangkatan lain seperti Aiman Tino, Sufian Suhaimi dan Haqiem Rusli mulai berjinak-jinak dalam bidang lakonan, Khai tetap dengan pendirian untuk memberi fokus kepada nyanyian.

“Tawaran berlakon ada, tetapi saya belum bersedia ditambah pula dengan jadual nyanyian padat. Saya bimbang jika tidak boleh memberikan komitmen.

“Kerjaya sebagai pelakon bukan calang-calang orang boleh buat. Saya sedar diri yang tidak ada bakat lakonan. Jadi, buat masa sekarang biarlah saya fokus pada nyanyian. Kalau ada rezeki tidak ke mana,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khai bakal muncul dengan single solo selepas nanti Aidilfitri.

Menariknya, lagu ciptaan Khai itu mengetengahkan genre rancak dengan sedikit sentuhan pop yeh yeh.

“Memandangkan lagu duet baru saja dilancarkan, saya berharap peminat sabar dulu untuk lagu solo. Insya-Allah lagu ini bakal dilancarkan selepas Aidilfitri.

“Saya juga tidak sabar sebenarnya kerana ini lagu rancak pertama selepas tiga lagu balada. Dalam erti kata lain, lagu ini menampakkan sisi berbeza saya apatah lagi kena belajar menari.

“Saya juga sudah ada idea untuk video muzik lagu ini. Doakan semoga semuanya berjalan lancar dan lagu ini boleh pergi jauh,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:08am
d