utama

Panggilan 'spam' bikin kacau

Oleh Wartawan NSTP

BEBERAPA pemimpin tertinggi kerajaan termasuk Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara, menerima panggilan misteri dari luar negara sejak malam tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, panggilan itu dipercayai untuk mengganggu proses pemantauan, perhubungan anggota keselamatan, kelancaran penugasan ketika proses pembuangan undi.

“Saya tidak pasti sama ada gangguan ini turut berlaku pada calon, namun saya dan beberapa pegawai tertinggi lain termasuk Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Setiausaha Negara ada menerima panggilan itu.

“Perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh pihak tertentu bagi mengganggu proses pembuangan undi,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, Kuala Lumpur, hari ini.

Antara pemimpin tertinggi BN yang menerima panggilan misteri itu adalah Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Seri Azalina Othman Said. Difahamkan laman sesawang parti bertanding

Abdul Rahman berkata, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) itu menerima panggilan dari luar negara tanpa henti.

Beliau berkata, tindakan itu jelas bertujuan menghalang komunikasi antara pemimpin dan jentera parti.

“Panggilan dari luar negara berterusan dalam tempoh beberapa saat.

“Untuk menghalang kami berkomunikasi dengan jentera parti. Ini taktik kotor!” katanya menerusi Twitter.

Seorang lagi pemimpin BN, Dr Salleh berkata telefon bimbitnya menerima panggilan spam sejak awal pagi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau menerima panggilan tanpa henti daripada nombor luar negara.

“Saya menerima panggilan tanpa henti sejak awal pagi, ini amat pelik,” katanya menerusi Twitter.

Turut menerima panggilan sama, Hishammuddin Hussein hanya menyedari perkara itu selepas selesai mengundi.

“Baru selesai mengundi dan menyedari ada banyak panggilan tidak berjawab daripada nombor tidak dikenali. Pelik,” katanya.

Sementara itu, Azalina berkata beliau masih menerima panggilan pelik dari luar negara terutama dari Amerika Syarikat (AS).

“Difahamkan ramai yang terima ‘spam missed calls’ macam ni pagi ni,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menerusi laman Twitter mengecam taktik panggilan ‘spam’ yang diterima ramai pemimpin BN dari nombor antarabangsa.

“Telefon yang diserang ‘spam’ pun tidak dapat berfungsi seperti biasa. Selain itu, banyak laman web BN tidak boleh diakses.

“Saya arahkan supaya tindakan segera diambil,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 12:27pm
d