utama

'Balas teguran murid pun tak boleh ke?'

Oleh Norrasyidah Arshad

SUASANA tempat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jenjarom, Kuala Langat, tegang kira-kira lima minit selepas seorang lelaki mempertikaikan tindakan calon Barisan Nasional (BN), Ng Siok Hwa bertemu pengundi.

Lelaki berkenaan dipercayai penyokong pakatan pembangkang menjerit dalam bahasa Cina di hadapan orang ramai memarahi tindakan Siok Hwa itu, selain menuduh bekas guru itu masih berkempen.

Keadaan itu menyebabkan pengundi yang sedang beratur menunggu giliran terpinga-pinga.

Kekecohan itu bagaimanapun diselesaikan wakil Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang meminta lelaki terbabit bertenang.

Sementara itu, Siok Hwa ketika ditemui berkata, beliau tidak melanggar sebarang arahan ditetapkan SPR.

“Saya tidak berkempen. Saya membalas teguran bekas anak murid saya sahaja,” katanya.

Sementara itu, kehadiran Siok Hwa ke sekolah itu menarik perhatian pengundi berikutan lokasi tempat mengundi itu adalah tempat beliau mencurah bakti sebagai pengajar selama 24 tahun lapan bulan.

Pengundi, Tan Seng Yau, 40, berkata beliau tidak menyangka Siok Hwa yang pernah mengajarnya dahulu menjadi calon untuk kawasan kediamannya.

Katanya, melihat pada personaliti dan kepemimpinan Siok Hwa, beliau yakin bekas gurunya itu mampu memberi perubahan.

“Sebelum bertanding, beliau sering berjumpa penduduk sini.

“Beliau bukan orang asing di sini malah kehadirannya sudah lama dirasai,” katanya.

Seorang lagi bekas anak murid Siok Hwa, Lau Ber Hoon, 42, berkata Siok Hwa adalah seorang yang baik dan prihatin kepada anak muridnya.

“Walaupun garang dan tegas, tapi dia tetap baik dengan semua anak murid,” katanya.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 1:13pm
d