utama

'Kena cetak 3,000 naskhah lagi' - Rita Rudaini

Oleh Ramlah

BUKU biografi ‘Kerana Aku Seorang Perempuan’ yang memaparkan kisah hidup pelakon Rita Rudaini akan dicetak buat kali kedua sebanyak 3,000 naskhah lagi, minggu depan.

Menurut Rita, dia berasa sangat terharu dengan sambutan hangat diberikan oleh orang ramai terutama peminat setia membabitkan buku biografinya itu.

“Alhamdulillah, saya sangat menghargai sokongan padu peminat yang sentiasa menyokong dari belakang sejak dulu.

“Secara peribadi, biografi ini adalah kisah benar dan suara paling jujur dari kamar hati ini selepas terbabit dengan pelbagai kontroversi rumah tangga sehingga ke mahkamah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Rita, tempahan untuk cetakan kedua buku hasil karya Pengarang Hiburan Mingguan Malaysia, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin itu juga sudah mula dibuka kepada orang ramai.

“Saya berharap peminat yang kecewa kerana tidak dapat beli buku cetakan pertama tidak melepaskan peluang keemasan untuk mendapatkan buku cetakan kedua ini sebelum kehabisan.

“Mereka yang membuat bayaran lebih awal akan didahulukan.

“Pihak kami juga akan melancarkan buku biografi ini di Singapura sekali gus untuk sesi bertemu peminat di sana bulan depan,” katanya.

Ditanya kelainan pada buku cetakan kedua itu, kata Rita, ada penambahan sedikit fakta dan juga gambar yang lebih menarik.

“Dari segi jalan ceritanya pula masih sama kecuali penambahan sedikit fakta yang tidak dapat dimasukkan sebelum ini kerana buku cetakan pertama itu khusus untuk penerbitan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum ini.

“Jadi, kali ini kita masukkan gambar eksklusif itu supaya tidak ada mana mana bahagian tertinggal untuk cetakan kedua ini,” katanya.

Terdahulu, cetakan pertama buku biografi Rita habis terjual sebanyak 3,000 naskhah dalam tempoh empat hari sejak dilancarkan pada 1 Mei lalu.

Selain kisah bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7, buku itu antara lain berkongsi secara eksklusif foto perkahwinan dengan pemain bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang berlangsung dalam gudang beras di Selatan Thailand.

Disiarkan pada: May 9, 2018 @ 4:40pm
d