utama

Bagai mimpi jadi realiti

Oleh Rohaniza Idris

PEMBENTUKAN kerajaan baharu Malaysia di bawah Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) ibarat mimpi yang menjadi realiti sejak perjuangannya hampir 20 tahun lalu.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, keadaan itu secara peribadi juga amat menyentuh perasaannya apabila waktunya hampir dengan hari pembebasan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Ketua Umum PKR, daripada hukuman penjara Jun ini.

“Saat ini amat menyentuh perasaan saya dan ia juga menandakan bermulanya era baru Malaysia untuk masa hadapan yang lebih baik buat kita semua.

“Sememangnya itulah yang apa kita harapkan selepas 20 tahun kami berusaha akhirnya ia menjadi kenyataan,” katanya yang juga diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri oleh Dr Mahathir sebelum ini.

Wan Azizah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi PH yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri pemimpin utama PH iaitu Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak hadir kerana difahamkan kini menghadap Sultan Johor bagi pelantikan Menteri Besar Johor.

Dalam sidang media malam tadi, Perdana Menteri dilaporkan berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V bersedia memberikan Pengampunan Diraja kepada Anwar.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dimaklumkan padanya dalam pertemuan dengan baginda, sekali gus membolehkan Anwar kembali menyertai politik dengan serta merta.

Anwar menjalani hukuman lima tahun penjara bermula Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau konsisten menafikan perkara itu dan mendakwa ia bermotif politik dan beliau yang menjalani hukuman di penjara Sungai Buloh dijadual dibebaskan pada 8 Jun ini.

Disiarkan pada: May 11, 2018 @ 2:28pm
d