utama

Geram tengok anak

Oleh Agensi

Makassar: Seorang bapa yang menggigit anak lelakinya berusia empat tahun hingga mati mengaku dia berbuat demikian akibat geram kerana anaknya terlalu comel.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditangkap selepas anaknya dimasukkan ke hospital sebelum meninggal dunia akibat kecederaan di beberapa bahagian badan akibat digigit.

Polis memberitahu, lelaki itu membawa anaknya ke hospital dan mendakwa kanak-kanak itu cedera akibat kemalangan motosikal ketika bersiar-siar di pantai Losari di sini, pada minggu lalu.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu meninggal dunia ketika dirawat dan doktor mengesyaki mangsa didera selepas menemui banyak kesan luka pada badannya.

“Kami mengesyaki dia menipu dan terus melakukan bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak itu.

“Bedah siasat mendapati banyak kecederaan pada mayat kanak-kanak itu dan kesan itu bukan berpunca daripada kemalangan,” katanya.

Selepas disoal siasat, lelaki itu akhirnya mengaku dia menggigit anaknya beberapa kali.

Lelaki itu mendakwa dia selalu berasa geram untuk menggigit dan mencubit anaknya kerana kanak-kanak itu terlalu comel.

“Saya menggigit anak saya kerana saya sangat geram melihatnya,” kata lelaki itu kepada polis.

Menurut media tempatan, lelaki itu juga berang kerana anaknya tidak suka dipeluk.

Tambah polis, lelaki itu berdepan hukuman penjara 15 tahun sekiranya didapati bersalah membunuh anaknya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 2:25am
d