utama

Misi Absyar

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Usianya baru tujuh tahun namun dia bercita-cita besar mahu bergelar juara dunia dalam seni mempertahankan diri, taekwondo pada suatu hari nanti.

Juara Kejohanan Taekwondo Sejagat dan Jemputan Kebangsaan 2018 (kategori 7 dan 8 tahun) Muhammad Absyar Rayyan Muhamad Asyraf, 7, berkata, dia bukan sekadar mahu mencari kepuasan diri sebaliknya mengharumkan nama negara.

“Ini kejohanan kedua dan Alhamdulillah pada pertandingan kali ini saya menang emas. Cubaan pada tahun lalu saya hanya dapat gangsa. Suatu hari nanti saya mahu jadi juara dunia,” katanya ketika ditemui di Kelab Pragmatic Taekwon-do di Saujana Putra.

Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, dia akan berlatih dengan lebih gigih sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan akan datang sehingga layak bertanding pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Bukit Jalil itu berkata, perkara penting buat dirinya adalah untuk mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Kalau saya mampu mencapai impian itu barulah ibu, ayah dan semua (ahli keluarga) boleh bangga,” katanya yang menjadikan Senior Grandmaster Taekwondo, Prof Datuk Dr Sabree Salleh sebagai idola.

Jurulatih jaguh cilik itu, Mohd Arifin Eday, 30, berkata, dia mula melatih Absyar sejak kanak-kanak itu berusia enam tahun lagi selepas mengesan potensi dan bakatnya yang boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi.

“Bakatnya saya kesan ketika menyaksikan dia beraksi pada hari sukan di Tadika Islam Indah Permai, Seri Kembangan. Jadi, dengan izin ibu bapanya, saya latih Absyar untuk gilap bakatnya.

“Rakan, Rozaidi Rostamizi, bantu saya melatih Absyar. Bagi saya, Absyar senang dibentuk kerana dia komited ketika menjalani latihan selain memiliki disiplin yang tinggi. Jadi saya yakin dia mampu jadi jaguh dunia suatu hari nanti,” katanya.

Katanya, Absyar dijadual menyertai satu lagi kejohanan peringkat kebangsaan di Ipoh, Julai nanti, untuk mempersiapkan diri sebelum beraksi pada kejohanan peringkat Asia di Hong Kong, September depan.

Sementara itu, bapa Absyar, Muhamad Asyraf Entan, 34, berkata, anaknya itu mula menunjukkan minat dalam sukan berkenaan ketika berusia empat tahun.

“Minatnya bermula selepas dia menyaksikan satu pertunjukan perlawanan taekwondo di sebuah pusat beli-belah. Kebetulan pula, Tadika Islam Indah Permai tempat Absyar belajar ketika itu menjadikan sukan terbabit sebagai aktiviti pada waktu riadah.

“Apabila jurulatih cakap Absyar memang berbakat dan bakatnya perlu digilap saya dan seluruh keluarga memberi sokongan penuh. Moga dia dapat harumkan nama negara dalam sukan ini (teakwando) suatu hari nanti,” katanya.

Disiarkan pada: May 12, 2018 @ 3:29am
d