utama

Sanjung Tun M bukan rahsia [METROTV]

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri Malaysia ketujuh melakar sejarah dunia dan sesuatu yang luar biasa.

Siti, 39, berkata, tidak pernah lagi dalam mana-mana negara memilih bekas Perdana Menteri untuk kali kedua setelah bersara.

Tun sebelum ini pernah menjadi Perdana Menteri keempat pada 1981 sebelum bersama 2003.

“Bagi saya ini satu sejarah kerana Tun seorang lagenda politik negara yang dilantik menjadi Perdana Menteri kali kedua pada usia 93 tahun.

“Ini juga satu pencapaian luar biasa apatah lagi Tun pernah bersara sebelum ini. Sejujurnya, apa yang saya luahkan di laman Instagram sebelum ini adalah gambaran perasaan saya yang menyanjungi kepimpinan beliau,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya adakah selepas ini dia akan secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Tun, Siti berkata ia bukan satu rahsia.

Malah kata Siti, selama ini dia memang menyanjungi kepimpinan Tun termasuk beberapa pemimpin hebat lain seperti Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Siti yang ditemui pada pelancaran pembukaan butik dan pertunjukan fesyen Creation dan SimplySiti by Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur petang tadi, menafikan dirinya disenaraihitam TV3 selepas jarang muncul di stesen TV itu seperti didakwa banyak pihak.

“Tidak ada istilah saya digam di TV3. Cuma saya jarang muncul, jadi timbul persepsi sebegitu.

“Ikutkan saya ada juga muncul dalam program lain di TV3 seperti Melodi dan Anugerah Bintang Popular. Saya berharap perkara ini jelas,” katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2018 @ 6:40pm
d