utama

Dekatkan Jarak Kita ungguli DFKL

Oleh Sudirman Mohd Tahir

DRAMA Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures Sdn Bhd menepati pilihan ramai apabila dinobatkan Drama Pilihan pada Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2018 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, malam tadi.

Kemenangan drama arahan Azman Yahya atau Jinggo itu sekali gus mengenepikan drama rantaian popular Titian Cinta yang disebut-sebut bakal menang kategori utama itu.

Penerbitnya, Sheila Rusly berkata, itu kemenangan kedua syarikat miliknya pada DFKL.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengundi drama ini. Tanpa kalian, drama ini tidak akan berjaya.

“Insya-Allah syarikat kami akan terus menghasilkan karya terbaik untuk penonton,” katanya.

Pun begitu, drama Titian Cinta lakonan Zul Ariffin dan Farah Nabilah itu tidak pulang tangan kosong apabila memenangi empat kategori.

Pelakon utamanya, Zul Ariffin dinobatkan Aktor Pilihan, Heykal Hanifah selaku Pengarah Pilihan, Farhana Fauri menerusi kategori Penulis Skrip Pilihan dan lagu Sumpah Cintaku bagi kategori Lagu Pilihan.

Bagaimanapun, heroin drama itu, Farah Nabilah tewas di tangan Janna Nick bagi kategori Aktres Pilihan menerusi drama Biar Aku Jadi Penunggu.

Gandingan pelakon Syafiq Kyle dan Ayda Jebat menerusi drama Dekatkan Jarak Kita pula tidak menghampakan apabila diumum pemenang kategori Pasangan Pilihan.

Keserasian mereka dalam drama itu menambat hati pengundi hingga berjaya menewaskan pasangan Zul Ariffin dan Farah Nabilah.

Bagi kategori Antagonis Pilihan menjadi milik Shukri Yahaya menerusi drama Andainya Takdir.

Sementara itu, Drama Pilihan Tonton VIP menjadi milik Zahir Tak Terucap terbitan Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd.

Bagi kategori Drama Radio Pilihan pula menobatkan drama Bukan Cinta Biasa lakonan Nad Zainal dan Zulhuzaimy yang disiarkan di Kool FM.

Kategori Drama Pendek Pilihan menjadi milik, Siti Saleha Musiran (Manikam Dalam Lipatan) membawa pulang RM10,000.

Pemenang adalah berdasarkan undian 100 peratus peminat menerusi dalam talian. Setiap pemenang membawa pulang trofi sumbangan TV3.

Anugerah DFKL 2018 yang disiarkan secara langsung oleh TV3, menampilkan gandingan pengacara Nabila Huda dan Ajak Shiro.

Malam DFKL 2018 turut dimeriahkan dengan persembahan hebat daripada Ayda Jebat berkolaborasi dengan Budak Joget dan Altmet, Ernie Zakrie, Haqiem Rusli, Ismail Izzani, Datin Diana Danielle, Janna Nick, Siti Sarah, Syamel dan Azlan & The Typewriter.

Senarai Pemenang:

Drama Pilihan : Dekatkan Jarak Kita (JS Pictures Sdn Bhd)

Aktor Pilihan : Zul Ariffin (Titian Cinta)

Aktres Pilihan : Janna Nick (Biar Aku Jadi Penunggu)

Pengarah Pilihan : Heykal Hanifah (Titian Cinta)

Penulis Skrip Pilihan : Farhana Fauri (Titian Cinta)

Lagu Pilihan : Sumpah Cintaku nyanyian Asfan (Titian Cinta)

Pasangan Pilihan : Syafiq Kyle & Ayda Jebat (Dekatkan Jarak Kita)

Antagonis Pilihan : Shukri Yahaya (Andainya Takdir)

Drama Pilihan Tonton VIP: Zahir Tak Terucap (Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd)

Drama Radio Pilihan: Bukan Cinta Biasa

Drama Pendek Pilihan: Manikam Dalam Lipatan

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 12:06am
d