utama

Rindu berlakon

Oleh Ardini Sophia Sina

Rasa rindu pada dunia lakonan tidak perlu diceritakan. Namun, komitmen pada keluarga terutama anak yang membesar adalah keutamaan bagi Yana Samsudin buat masa ini.

Menjadi pengacara program Cj Wow Shop yang ditayangkan secara langsung turut membataskan pembabitannya dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, andai ada yang boleh sesuaikan dengan jadual hariannya, pasti dia tidak akan menolak.

“Saya memang merancang untuk fokus pada pengacaraan sepanjang tahun ini kerana agak sukar untuk membahagikan masa penggambaran dengan program yang ditayangkan secara langsung.

“Bagaimanapun, kalau ada yang sanggup sesuaikan jadual harian saya, ia tidak menjadi masalah untuk kembali aktif dalam dunia lakonan.

“Dalam kesibukan harian menguruskan syarikat dan menjalankan perniagaan serta melaksanakan komitmen bersama CJ Wow Shop, saya ada berlakon dalam telefilem yang bakal ditayangkan pada hari raya nanti,” katanya.

Berkahwin dengan Fadzil Zahari pada 13 Februari 2015, kehadiran Aisy Mateen yang bakal genap berusia dua tahun Julai ini mengajar Yana maksud sebenar keibuan.

Sebagai insan bergelar ibu, pastinya terbit rasa bimbang membesarkan dan mendidik anak dalam era yang serba mencabar ini.

Teknologi banyak membantu dalam sistem pendedahan pada pendidikan namun andai tersilap langkah, ia juga merosakkan minda kanak-kanak yang sedang membesar.

Menurut Yana, dia juga sama seperti ibu bapa lain yang memberikan gajet sebagai salah satu cara untuk mengajar anak mengenal huruf dan nombor.

“Sebagai ibu, memanglah bimbang teknologi akan memberi pengaruh buruk, tapi dalam mendidik anak pun haruslah mengikut peredaran zaman.

“Saya dedahkan Mateen pada gajet dan televisyen dengan tujuan mendidik. Pada masa sama saya pantau supaya dia tidak ketagih disebabkan gajet,” katanya.

Walaupun didedahkan penggunaan gajet pada usia muda, Yana ada pendirian dengan tidak memberikan telefon bimbit ketika berada di meja makan.

Katanya, masa makan adalah masa untuk bersama-sama menikmati hidangan yang sudah disediakan. Dia tidak mahu mengalihkan perhatian Mateen supaya sabar di meja makan dengan bantuan teknologi.

“Kalau Mateen bosan di meja makan, saya tidak gunakan gajet untuk memujuk dia. Masa makan adalah waktunya untuk sama-sama menikmati apa yang tersedia atas meja.

“Saya juga biasakan Mateen supaya tonton apa yang ada depan mata. Sama ada dia suka atau tidak, dia harus tonton sampai habis. Dia harus belajar untuk menghadapi apa saja dalam hidupnya sama ada dia suka ataupun tidak,” katanya.

Kerap menyertai ceramah keibubapaan, Yana ada bertemu ramai pakar kanak-kanak dan ibu bapa hebat. Dia belajar serta berkongsi banyak tip mendidik anak.

Walaupun kadang-kadang menggunakan gajet untuk ‘edutainment’, Yana akan pastikan ia seimbang dengan aktiviti analog seperti bermain bola dan mengenal alam semula jadi.

“Sebelum ini, walaupun belum berusia setahun, Mateen sudah boleh menyebut perkataan seperti ‘flower’ dan ‘cat’. Dia juga boleh mengira dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin.

“Menggunakan gajet sebagai alat bantu mengajar itu tidak salah, tetapi haruslah seimbangkan dengan aktiviti fizikal,” katanya.

Mahu anak kedua

Sebelum ini, Yana pernah berkongsi bahawa dia sudah habiskan puluhan ribu dalam usaha mendapatkan anak kedua.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini ia belum membuahkan hasil. Terus berusaha, Yana merasakan Mateen sudah sedia untuk bergelar abang.

Menjaga pemakanan dan mengamalkan hidup lebih sihat, ia antara usaha yang dilakukan oleh pelakon kelahiran Yong Peng, Johor itu.

“Sebagai manusia, kita harus berusaha. Kena jaga makan dan kesihatan. Sekarang ini pun, saya tidak lagi mengambil minuman berais.

“Tapi, bab tidur saya susah sikit untuk ‘adjust’ masa. Banyak kerja yang harus saya selesaikan. Kalau sudah mula bekerja, saya memang tidak sedar masa berlalu pantas,” katanya.

Tidak berputus asa, Yana minta didoakan supaya impian serta usaha untuk mendapat anak kedua akan dimakbulkan.

Disiarkan pada: May 14, 2018 @ 9:12am
d