utama

Anak jadi umpan

Oleh Agensi

Surabaya: Anggota militan yang melancarkan beberapa serangan bom berani mati di bandar ini menggunakan kanak-kanak sebagai helah untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa bagi melaksanakan misi mereka.

Dalam satu kejadian terbaru pada pagi semalam, lima sekeluarga termasuk kanak-kanak perempuan melancarkan serangan bom berani mati di ibu pejabat polis Surabaya.

Ketua polis Indonesia, Tito Karnavian berkata, keluarga berkenaan yang menaiki dua motosikal berhenti ketika diperiksa di pintu masuk utama sebelum meletupkan diri.

“Kanak-kanak berusia lapan tahun itu terselamat tetapi bapa, ibu dan dua lagi abangnya terbunuh dalam serangan berkenaan.

“Kejadian itu juga menyebabkan empat anggota polis dan enam orang awam cedera,” katanya.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan kanak-kanak itu tercampak selepas dua motosikal berkenaan meletup sebelum dia diselamatkan oleh anggota polis.

Serangan itu berlaku, sehari selepas satu keluarga termasuk kanak-kanak melancarkan serangan di tiga gereja menyebabkan 13 orang terbunuh termasuk penyerang.

Detikcom melaporkan, Serangan itu dilancarkan Dita Oepriarto dan isterinya, Puji Kuswati bersama dua anak lelakinya yang berusia 18 dan 16 tahun serta dua anak perempuan berusia 12 dan sembilan tahun.

Dita dilaporkan melancarkan serangan di gereja Pantekosta menggunakan kenderaan Toyota Avanza, manakala Puji dan dua anak perempuannya menyerang sebuah gereja di jalan Diponegoro.

Dua anak lelaki pasangan itu yang menaiki motosikal melancarkan serangan bom di sebuah lagi gereja.

Pada malam kelmarin sebuah lagi bom meletup di sebuah rumah di Rusun Wonocolo, Sidoarjo, Jatim menyebabkan tiga mangsa daripada enam sekeluarga terbunuh.

Ketua polis Jatim, Machfud Arifin memberitahu, keluarga berkenaan mungkin merancang serangan sama di Surabaya tetapi bom yang dipasang mereka meletup di rumah berkenaan.

Menurutnya, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Anton Febrianto, 47, isterinya, Puspita Sari, 47, dan anak mereka yang berusia 17 tahun.

Tiga lagi anak pasangan itu yang berusia 15 hingga 11 tahun dilaporkan cedera parah.

Polis percaya keluarga berkenaan adalah anggota Jemaah Ansharut Daulah yang mempunyai kaitan dengan militan Daish.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 3:39am
d