utama

Petaka tsunami cetus hidayah

Oleh Amir Abd Hamid

Shah Alam: Musibah tsunami melanda Aceh, Indonesia dan beberapa negeri di utara Semenanjung Malaysia pada 26 Disember 2004 menjadi medan permulaan buat pemuda ini aktif sebagai sukarelawan program kemanusiaan serta dakwah.

Mohd Hafez Harun, 37, berkata, bencana 14 tahun lalu itu membuka pintu hatinya untuk aktif membantu insan lain dalam kesukaran bukan saja di Malaysia malah ke serata dunia.

Graduan Diploma Multimedia Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) itu berkata, sekarang dia lebih fokus kepada isu Palestin dan Mohd Hafez kini aktif sebagai sukarelawan bersama Yayasan Al Amin.

“Selepas tsunami melanda, saya yang sedang menuntut di KUIS bersama rakan sekuliah ke Kota Kuala Muda, Kedah untuk membantu mangsa yang terjejas bencana itu.

“Akibat bencana mangsa menempuh pelbagai kesukaran. Pengalaman diceritakan mereka menyentuh hati saya. Jadi selepas itu saya ambil keputusan untuk aktif sebagai sukarelawan dalam program dianjurkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Selain aktif di dalam negara, saya juga berpeluang menabur bakti kepada mangsa atau golongan kurang berkemampuan di Palestin, Sepanyol, Bosnia- Herzegovina dan Bangladesh,” katanya.

Menurutnya, kali pertama dia ke Palestin dan khususnya ke Masjid Al-Aqsa pada 2013 ketika menjadi petugas media Yayasan Al Amin iaitu NGO diasaskan dan dipengerusikan Muhamad Abdullah Al Amin, 42, pendakwah bebas popular dengan gelaran Ustaz Amin.

Disiarkan pada: May 15, 2018 @ 4:41am
d