utama

Desa mini Sahrul Naim [METROTV]

Oleh Siti Khairunnisa Mohamad Nayan

Kuala Lumpur: Walaupun latar belakang pengajian dalam bidang Kehakiman dan Guaman Islam, namun replika rumah yang dihasilkan Mohamad Sahrul Naim Arbain, 27, mudah mengaburi mata orang ramai yang kebanyakannya menganggap dia mahir dalam bidang seni.

Hobi Mohamad Sahrul Naim dalam menghasilkan replika menarik minat netizen apabila dia memuat naik gambar replika rumah kampung di akaun Facebook (FB) miliknya, malah mendapat komen positif yang mengatakan replika itu seperti rumah kampung yang betul.

Menurutnya, dia mula minat menghasilkan replika rumah sejak usia 11 tahun apabila gurunya menyuruh membuat replika rumah menggunakan kotak dan lidi.

Katanya, sejak itu, dia mula tertarik dengan replika rumah, malah perasaannya untuk menghasilkan replika rumah dengan lebih unik semakin membuak sehingga hari ini.

Mohamad Sahrul Naim berkata, setakat ini dia sudah menghasilkan 20 replika antaranya rumah kampung, kedai makan dan surau dengan semuanya berkonsepkan suasana kampung.

“Saya lebih berminat konsep suasana kampung itu kerana saya memang berasal dari kampung di Sungai Besar, Sabak Bernam, malah semua replika yang saya buat mengingatkan saya kepada zaman kanak-kanak dulu.

“Mustahil untuk saya undur masa kembali ke zaman dulu, jadi dengan cara ini saja saya dapat luahkan rasa rindu kepada suasana kampung dulu.

“Lagipun replika ini juga dapat memperkenalkan peralatan pada zaman dulu seperti lampu minyak tanah dan batok kepada kanak-kanak sekarang yang kebanyakannya tidak tahu peralatan itu,” katanya.

Menurutnya, dia menganggap hobi itu adalah satu terapi bagi dirinya untuk mengurangkan tekanan di tempat kerja dengan meluahkan segala yang dirasa melalui penghasilan replika terbabit.

“Saya tidak kisah menghabiskan masa dalam dua hingga tiga jam setiap malam dan hujung minggu untuk menghasilkan replika asalkan segala urusan penting sudah diselesaikan,” katanya.

Mohamad Sahrul Naim berkata, hampir 90 peratus replika ini diperbuat daripada lidi dan tempoh untuk menyiapkan replika bergantung kepada keluasan replika berkenaan kerana semuanya dihasilkan sendiri kecuali kereta dan motosikal mainan.

“Pembinaan replika ini adalah sama dengan pembinaan rumah yang betul kerana harus mempunyai lakaran keluasan rumah sebagai tapak di atas kertas terlebih dulu.

“Adanya tapak akan memudahkan proses mendirikan tiang dan seterusnya baru menyiapkan dinding dan bumbung, namun proses menggam lidi perlu dilakukan dengan lebih teliti supaya nampak kemas.

“Kebanyakan idea yang saya dapat untuk menghasilkan replika itu diperoleh apabila saya bersiar di kawasan kampung dan sawah padi, malah semakin buruk rumah itu, semakin suka saya tengok,” katanya.

Dia yang bekerja sebagai pembantu undang-undang berkata, hobi dan pekerjaannya memang tidak mempunyai persamaan, tetapi dia tahu kedua-duanya memiliki keseimbangan.

“Saya merasakan keseimbangan itu tercipta apabila pekerjaan ini memerlukan saya untuk berjumpa dengan orang ramai dan akan memberikan tekanan, tetapi semua tekanan itu hilang apabila saya meluahkan kepada replika.

“Walaupun ada orang ramai yang meminta saya mengadakan kelas, namun saya tidak berani kerana saya bukanlah daripada bidang ini tetapi saya hanya sekadar mampu berkongsi ilmu dan memberi pandangan,” katanya.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 6:06am
d