utama

'Sekarang saya bebaskan dialah...' - Tun M

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kerajaan akan dibincangkan dengan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok.

Perdana Menteri berkata, peranan Anwar adalah merangkumi parti memandangkan Ketua Umum PH itu bukan seorang ahli Parlimen.

“Apa peranan Anwar? Itu esok saya akan adakan mesyuarat Majlis Presiden PH. Ia adalah majlis yang melantik kita (ketua parti) semua.

“Jika ada perubahan membabitkan Anwar, majlis itu akan tentukan," katanya pada sidang media di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, hari ini.

Ditanya tentang perasaan beliau berhubung pembebasan Anwar, Dr Mahathir berkata:

"Ya... Dahulu dikatakan saya yang masukkan dia dalam tahanan, sekarang saya bebaskan dialah," katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PH tidak akan menerima ahli parti pembangkang walaupun mereka sudah mengisytihar dan menyatakan sokongan kepada kerajaan.

“Kita nampak ramai orang parti lawan yang kalah ini ingin masuk PH, tapi kita dapati rakyat tidak boleh terima orang dari UMNO atau lain.

“Walaupun dah keluar parti dan nyatakan sokongan kepada kerajaan, mereka tidak akan jadi ahli PH, sebab ini akan akan dipandang rakyat, kita tidak mahu kerajaan baharu seperti kerajaan lama,” katanya.

Ditanya mengenai lantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu, Dr Mahathir berkata, lantikan perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 3:48pm
d