utama

Ada lagi 'rahsia' dalam 1MDB

Oleh Wartawan NSTP

TUN Dr Mahathir Mohamad memaklumkan terdapat lebih banyak kesalahan dan penyelewengan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbanding yang diketahui umum, sebelum ini.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mendapat taklimat daripada pihak polis termasuk membaca laporan pengauditan yang sudah dikelaskan sebagai dokumen terbuka, semalam.

“Kita akan mengambil tindakan dan membuat laporan polis, apabila sampai tahap kita boleh membuat tangkapan, kita akan tangkap mereka yang bersalah.

“Tiada beza antara orang tertentu (pangkat dan kedudukan) untuk didakwa,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad dalam satu kenyataan berkata, laporan pengauditan 1MDB yang pernah dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC) pada 4 Mac 2016 kini sudah boleh dirujuk orang ramai.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, adalah penting bagi kerajaan untuk membawa pulang wang berkaitan 1MDB yang berada di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Switzerland dan Singapura.

“Sebab itu kita hubungi negara-negara terbabit untuk kita dapatkan semula duit yang ada pada mereka.

“Kita buat kenyataan bahawa wang itu milik Malaysia dan 1MDB, dan kita akan pohon wang itu dikembalikan.

“Jumlahnya agak besar dan ini akan menolong kita dalam menyelesaikan pelbagai jenis hutang,” katanya.

Katanya, jumlah sebenar keseluruhan wang berkenaan di luar negara masih belum diketahui, tetapi di Amerika Syarikat sahaja memiliki jumlah terbesar iaitu AS$4.5 bilion (RM18.83 bilion).

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk memanggil bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi membantu siasatan berkaitan 1MDB.

Ditanya juga sama ada bukti mencukupi bagi mendakwa Najib, katanya, jika mempunyai bukti yang cukup, tindakan boleh diambil.

Ditanya sama ada Najib dikenakan tahanan rumah, Perdana Menyeri berkata, Najib hanya tidak dibenarkan ke luar negara.

Disiarkan pada: May 16, 2018 @ 4:49pm
d