utama

Faham situasi penganggur

Oleh HM Digital

Video dimuat naik penyanyi rap, Caprice di laman sosial Instagram miliknya baru-baru ini mendapat perhatian luar biasa pelbagai pihak.

Ini berikutan pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 31, buat pertama kali bercakap bahasa Malaysia sepenuhnya dalam log video di Instagram.

Caprice yang juga penceramah motivasi ketika dihubungi berkata, apa yang dilakukannya itu bagi menyahut cabaran peminat.

“Perkara itu bermula selepas saya menegur segelintir peminat yang sering merungut mengenai ketiadaan kerja walaupun mereka mempunyai pendidikan taraf tinggi.

“Saya mencabar mereka untuk mencipta peluang sendiri daripada terus menunggu tawaran pekerjaan.

“Mungkin sebab itu, mereka pula mencabar saya untuk keluar dari zon selesa dengan bercakap sepenuhnya dalam bahasa Malaysia,” katanya.

Biarpun lebih selesa berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris, pengasas aplikasi mengaji.com ini berkata, cabaran terbabit bukan sukar memandangkan dia sememangnya boleh bertutur bahasa Malaysia dengan fasih.

“Saya memahami situasi individu yang masih tidak berkerjaya. Selain terus menunggu tawaran pekerjaan, saya cadangkan untuk meneroka pelbagai peluang yang disediakan kerajaan atau pihak tertentu.

“Contoh terbaik yang saya nampak ialah melalui program YouCanDuit di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang membuka peluang untuk sesiapa saja mencipta sumber pendapatan sendiri,” katanya.

Video yang dimuat naik pada 3 April lalu menerima hampir 2,400 komen dan lebih 280,000 tontonan di Instagram.

Malah, video terbabit turut diparodikan beberapa selebriti tempatan di laman sosial masing-masing antaranya Syuk SYJ, Azrul Cham, Bell Ngasri dan Zulin Aziz. -Michelle Gun

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 3:49am
d