utama

19 penyek

Oleh Agensi

New Delhi: Sekurang-kurangnya 19 orang maut selepas sebuah jejambat dalam pembinaan runtuh serta menghempap beberapa kenderaan menyebabkan puluhan mangsa terperangkap di bawahnya pada waktu puncak, kelmarin.

Kejadian berlaku berhampiran stesen kereta api di Varanasi, Uttar Pradesh, India, pada lewat Selasa (waktu tempatan) dan 12 kren dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengangkat bahagian jejambat konkrit yang runtuh itu, lapor Daily Mail.

NDTV melaporkan, dua tiang roboh menyebabkan rusuk konkrit di atasnya turut runtuh dan menghempap kenderaan di bawahnya. Antara mangsa maut juga dipercayai buruh yang terbabit dalam kerja pembinaan.

Sehingga semalam runtuhan itu masih belum dapat dialihkan dan satu bas, lima kereta, dua beca bermotor serta beberapa motosikal masih terperangkap di bawahnya.

Menurut Hindustan Times, sekurang-kurangnya 24 orang terperangkap di bawah runtuhan. Jumlah itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.

AFP memetik pegawai terbabit dalam operasi menyelamat berkata: “Lapan belas mayat ditemui setakat ini. Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.”

Rakaman televisyen menunjukkan kenderaan terperangkap di bawah bongkah konkrit dengan orang ramai berhimpun melihat nahas.

Saksi berkata, dia melihat kejadian dengan jelas kerana berada hanya beberapa meter dari tempat kejadian.

“Saya nampak jejambat itu runtuh dengan sekurang-kurangnya empat kereta, satu beca bermotor dan satu bas di bawahnya,” katanya.

Sementara itu news18.com memetik Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Prasad Maurya berkata, empat pegawai syarikat pembinaan terbabit sudah digantung tugas sementara siasatan dilakukan.

Nahas binaan perkara yang lazim berlaku di India. Pada 2016, kira-kira 26 maut di Kolkata selepas sebahagian jejambat sepanjang 100 meter runtuh ke atas jalan di bawahnya.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 4:28am
d