utama

[UPDATE] Ajal menjemput mangsa kelima pula

Oleh Junaidi Ladjana dan Recqueal Raimi

SEORANG lagi mangsa kemalangan di Kilometer 39, Jalan Ranau-Telupid, di Ranau, petang hari ini, meninggal dunia menjadikan keseluruhan lima mangsa maut.

Mangsa, Nur Aathera Darquez Richard, 2, yang parah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Ranau, 7.55 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kanak-kanak terbabit duduk di bahagian penumpang belakang Proton Saga BLM.

“Susulan itu, menjadikan kematian akibat nahas itu kepada lima orang.

“Seorang lagi mangsa yang parah di bahagian organ dalaman dan keadaan kritikal masih menerima rawatan di Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kemalangan 2 petang hari ini membabitkan Proton Saga BLM dinaiki enam mangsa dengan sebuah bas ekspres dinaiki 28 penumpang.

Empat disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu empat beranak, Azis Pindungan, 60, dan isterinya Rubiah Anggau, 59, serta dua anak, Azlina Azis, 35 dan Mohd Aziratul Khizam Azis, 23.

Seorang lagi anak Azis iaitu Harmawati, 33, masih menerima rawatan di Hospital Ranau dan keadaan kritikal.

Disiarkan pada: May 17, 2018 @ 11:55pm
d