utama

Cabaran panjat batu kapur

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Aktiviti memanjat dinding batu kapur dan via ferrata (pendakian dilengkapi tangga besi dan kabel) di Kampung Paya Gunung, kira-kira lapan kilometer dari bandar ini masih baru diteroka peminat tegar sukan lasak.

Justeru, keindahan flora dan fauna bukit batu kapur masih belum terusik dan pihak berkaitan perlu memastikan pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan dipelihara supaya pelancong yang datang ke situ bukan saja teruja dengan aktiviti via ferrata, tetapi juga dapat melihat lebih dekat spesies berkenaan.

Bukit batu kapur di Kampung Paya Gunung itu antara lokasi penting bagi peminat aktiviti sukan lasak memanjat dinding batu dan via ferrata pada hujung minggu dan cuti am.

Via ferrata dalam bahasa Itali bermaksud ‘jalan dengan besi’, sambil melihat keindahan alam sekeliling.

Sebelum ini, kita perlu berkunjung ke Gunung Kinabalu untuk melakukan aktiviti via ferrata itu adalah satu satunya di Malaysia, malah yang tertinggi di dunia dan yang pertama di Asia, tetapi kini bagi peminat sukan lasak, aktiviti via ferrata tidak perlu lagi ke sana kerana ia boleh dilakukan di Kampung Paya Gunung.

Walaupun tidak setinggi Gunung Kinabalu, tetapi bukit batu kapur itu tetap menarik dan mencabar dengan ketinggian 120 meter dari paras laut, satu-satunya yang terdapat di Semenanjung.

Aktiviti via ferrata adalah aktiviti menempuh jalan bukit berbatu yang terpaksa melalui beberapa siri anak tangga, rel dan kabel yang melekap pada permukaan batu dan lebih menarik kita dapat melihat pemandangan sekeliling secara 360 darjah di atas puncaknya.

Menyedari kelebihan yang ada di Paya Gunung, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menjadikan lokasi itu sebagai pusat sukan lasak yang pertama di Semenanjung.

Pengarah Pejabat Pelancongan Wilayah Timur Zaliha Zainuddin berkata, aktiviti memanjat dinding batu dan via ferrata yang terdapat di Paya Gunung mampu menjadi tarikan baru aktiviti eko pelancongan sukan lasak di negara ini.

“Pihak Kementerian mendapati lokasi ini amat sesuai untuk memperkenalkan acara baru pendakian merentasi alam semula jadi yang menjadi trend masa kini.

“Kami akan mempromosikan tempat ini secara meluas kepada pelancong domestik dan antarabangsa mulai tahun ini, sekali gus sebagai satu daripada destinasi Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya.

Sementara itu, pengusaha agensi pelancongan di Jerantut menyambut baik usaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menjadikan Paya Gunung sebagai satu destinasi sukan lasak baru.

Rasdan Saleh, dari Danz Travel menyambut baik usaha itu kerana ia mempelbagaikan lagi produk pelancongan di daerah ini.

Katanya, sebagai pintu masuk ke Taman Negara, tentu ramai pelancong yang meminati sukan lasak seperti ini, lagi pun ia tidak jauh dari bandar ini.

“Kami sentiasa mengalu-alukan remaja di luar sana untuk menyertai aktiviti sebegini supaya lebih menghargai alam semula jadi,” katanya.

Affyleha Ali Asra, dari TN Nature Outdoor, yang banyak mengendalikan pakej ke Taman Negara khususnya kepada yang meminati cabaran merasakan Paya Gunung mampu menarik lebih ramai pengunjung yang meminati aktiviti lasak dan mencabar.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 4:27am
d