utama

Tanda tanya dua mayat dalam parit...

Oleh Hamzah Osman

MAYAT lelaki dan wanita yang belum dikenal pasti identiti ditemui di dalam parit di Kampung Bukit Lembu, Mukim Kedawang, di Langkawi.

Mayat pertama seorang lelaki ditemui pada jam 1 tengah hari, Rabu lalu, manakala mayat kedua seorang wanita ditemui, 6.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mayat ditemui pada jarak 50 meter antara satu sama lain dan di dalam parit sama.

"Sehingga kini, identiti kedua-dua mangsa belum dapat dipastikan kerana tiada sebarang dokumen peribadi ditemui di tempat kejadian.

"Kes penemuan kedua-dua mayat yang mula reput dan berulat itu juga dipercayai mempunyai kaitan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, siasatan awal pada mayat pertama mendapati ada kesan kecederaan pada tangan kanan dan hadapan leher, tetapi tidak dapat dipastikan ia ada kaitan jenayah atau sebaliknya.

"Pemeriksaan pada mayat kedua mendapati ada kesan ikatan menggunakan kain pada bahagian kaki, selain tubuh menunjukkan mangsa adalah wanita.

"Kedua-dua mayat dipercayai mati antara lima dan tujuh hari lalu kerana keadaan mayat sudah mengembang dan mengalami proses pereputan," katanya.

Beliau berkata, mayat pertama sudah menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Khamis.

Katanya, mayat kedua akan dihantar ke hospital sama dalam tempoh terdekat.

"Polis masih menyiasat kes ini dan sehingga kini tidak menerima sebarang laporan berkaitan orang hilang dalam tempoh dua minggu lalu,” katanya.

Katanya, kedua-dua kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: May 19, 2018 @ 6:59pm
d