utama

'BN tewas akibat fitnah, fakta mengelirukan' [METROTV]

Oleh Nik Sukry Ramli dan TN Alagesh

KEKALAHAN Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) disebabkan kempen agresif Pakatan Harapan (PH) dengan memburukkan pucuk pimpinan menerusi penyebaran fakta mengelirukan mengenai keadaan ekonomi negara.

Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau adalah antara sasaran pimpinan PH dan sering diserang dengan pelbagai fitnah bagi mencipta persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Saya tidak merasakan begitu terkilan dengan kekalahan kita (BN) dalam PRU-14 yang lalu, (kerana) rakyat sudah membuat pilihan dan kita akur dengan keputusan itu.

“Cuma apa yang saya sedih... ia (kekalahan) adalah disebabkan kempen memburuk-burukkan pemimpin BN, terutamanya saya dan keluarga paling teruk diserang dengan bermacam dakwaan (tuduhan).

“Selain itu, mereka (PH) juga menawarkan janji sangat menarik, janjikan bulan dan bintang... janji yang tidak boleh ditepati pun, tapi, itulah (yang rakyat) suka dengar dan akhirnya, rakyat membuat pilihan dengan memilih mereka,” katanya.

Bekas Perdana Menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pekan berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian serentak Persidangan Tahunan Cawangan dan Sayap-sayap UMNO Bahagian bagi 2018 di Bangunan UMNO Bahagian Pekan, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ketua Wanita UMNO Bahagian Datuk Zalmah Abd Rahman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Datuk Shaharuddin Ahmad.

Kira-kira 1,000 pimpinan dan ahli UMNO hadir pada majlis berkenaan.

Najib turut mengulangi kenyataan bahawa apa yang berlaku sepanjang minggu lalu adalah perkara di luar jangkaan semua pihak, termasuk dakwaan kononnya beliau mencuri duit rakyat.

Katanya, tindakan kerajaan ketika ini yang mendakwa akan melaksanakan 'Rule of Law' sepenuhnya adalah tidak sejajar dengan tindakan mereka terhadap beliau dan ahli keluarganya.

“Mulanya mereka cakap nak ikut 'Rule of Law'... tapi, tuan-puan pun tahu (lihat) apa yang saya dan isteri serta ahli keluarga lalui.

“Mereka melakukan pemeriksaan dalam rumah saya... rumah anak-anak saya, semuanya mereka angkut (sita), hadiah kahwin anak saya pun mereka ambil... kasut cucu pun mereka ambil... apa maksudnya ini,” katanya.

Disiarkan pada: May 20, 2018 @ 8:37pm
d