utama

Kisah cinta dua benua

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Siapa sangka, daripada orang biasa, pelakon yang juga aktivis dari Amerika Syarikat, Meghan Markle, 37, kini menjadi salah seorang anggkota keluarga diraja Britain.

Tarikh 19 Mei 2018 tentunya tidak akan dilupakannya apabila sah bergelar isteri kepada Putera Harry, sekali gus membawa gelaran Duchess of Sussex.

Meghan benar-benar ingin mengabdikan dirinya dalam perkahwinan.

Selepas mengumumkan mengenai pertunangannya dengan putera itu pada 27 November tahun lalu, bekas bintang Suits itu memilih untuk memberikan tumpuan sepenuhnya kepada masa depan dan dengan rela hati meninggalkan kerjayanya.

Meghan yang juga pernah bergelar duta untuk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan pelajar dalam bidang hubungan antarabangsa berkata, itu adalah salah satu transisi dalam kehidupannya.

“Saya menganggap ini sebagai transisi yang mengujakan dan banyak perkara baru boleh saya lakukan.

“Ia bukanlah bererti saya melepaskan sesuatu dan memulakan sesuatu yang baru. Tapi, saya anggap ini sebagai perubahan untuk lembaran baru dalam kehidupan saya,” katanya.

Perkahwinan mereka juga pastinya mendapat liputan seluruh dunia dan setiap inci pergerakan dan perbuatan mereka menjadi bualan.

Sebelum ini, dia pernah beraksi sebagai Rachel Zane dalam siri Suits selama tujuh musim bermula 2011 hingga 2017.

“Saya bekerja untuk program itu selama tujuh tahun dan kagum apabila ia mampu bertahan lama. Rasanya, banyak perkara sudah saya capai dan saya bangga dengan hasilnya,” katanya.

Perjalanan pelakon berdarah campuran Afrika-Amerika itu dalam industri tidaklah terlalu mudah sehinggakan dia sendiri pun pernah meluahkan perasaannya dalam satu temu bual.

“Saya tak cukup hitam untuk watak orang kulit hitam dan tidak cukup putih untuk watak orang kulit putih.

“Itu membuatkan saya berada di tengah-tengah sebagai etnik yang boleh berubah mengikut situasi untuk dapatkan kerja yang tak mudah,” katanya.

Dalam satu temu bual, Harry berkongsi mengenai kisah cinta mereka yang bermula daripada ‘blind date’ yang diatur teman-teman.

“Saya jatuh cinta dengannya dan dia juga begitu. Kami mengadakan pertemuan dan memulakan perbualan dan selepas beberapa ketika, kami merasakan bahawa kami adalah jodoh untuk satu sama lain.

“Apa pun yang terpaksa kami harungi sebagai individu, kami cuba selesaikan sebagai pasangan dan saya yakin, dia mampu melakukan banyak perkara,” katanya.

Mereka bertemu ketika di London pada Julai 2016 selepas diperkenalkan beberapa kenalan.

Pada Januari tahun lalu, Harry memperkenalkan Meghan kepada kakak iparnya, Kate Middleton dan anak saudaranya, Puteri Charlotte.

September tahun lalu menyaksikan Meghan pertama kali menghadap nenda Harry, Ratu Elizabeth II di Istana Balmoral.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 4:02am
d