utama

'Saya mohon maaf' - Najib

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

DATUK Seri Najib Razak meminta maaf kepada rombongan ahli UMNO Tanjung Malim yang tidak dapat bertemu dengan beliau, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu merakamkan permohonan maaf berkenaan menerusi catatan di Twitter rasmi beliau, hari ini.

"Sampaikan salam saya kepada ahli-ahli UMNO Tanjung Malim, @KhusairiTgMalim . Saya mohon maaf atas kesulitan semalam, disebabkan ada urusan yang perlukan perhatian. Insya-Allah jika berpeluang dalam masa terdekat kita bertemu lagi," katanya.

Semalam, kira-kira 40 orang ahli Umno Tanjung Malim, terpaksa pulang hampa selepas gagal menemui Najib di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta, di ibu negara selepas menunggu hampir sejam.

Rombongan berkenaan diketuai Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Khusairi Abdul Talib.

Seorang daripada ahli Umno Tanjung Malim yang enggan dikenali berkata, rombongan 40 ahli Umno itu datang menaiki bas.

Mereka tiba di rumah Najib kira-kira 3.30 petang dan menunggu di luar pagar rumah sehingga 4.20 petang, namun kecewa kerana tidak dapat bertemu beliau.

Berita berkaitan

Rombongan ahli UMNO ke rumah Najib

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 12:15pm
d