utama

Jamal ditahan tunjuk senjata

Oleh Safeek Affendy Razali

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penularan gambar beliau mempamer senjata api dalam laman sosial.

Jamal, 47 ditahan di hospital swasta di Jalan Memanda, Ampang, 1.15 petang tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor.

Tangkapan itu dibuat susulan satu laporan polis yang diterima pada 12 Mei lalu, oleh ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kuala Langat.

Pengadu mendakwa melihat beberapa keping gambar menunjukkan Jamal menyelitkan senjata api di pinggangnya di tempat awam yang dipercayai bertujuan menakut-nakutkan orang awam.

Dalam laporannya, pengadu meminta polis menyiasat perbuatan Jamal itu dan menarik lesen senjata api sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

Ramai orang awam menganggap Jamal tidak layak memiliki lesen senjata api.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 34, Akta Senjata Api 1960.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahkan tangkapan Jamal, namun akan mengeluarkan butiran terperinci dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 4:56pm
d