utama

Tangisan berdarah

Oleh Amrullah Abdul Karim

TIADA yang mampu menggambarkan derita ditanggung Muhammad Adam Shahputra Zaidi, yang menghidap kanser mata tahap empat seawal usia lapan tahun.

Anak kelima daripada enam beradik itu disahkan menghidap kanser itu pada September tahun lalu dan menjalani pembedahan membuang mata kirinya Disember tahun sama.

Bagaimanapun, bahagian mata kirinya membengkak sehingga saiz penumbuk kanak-kanak seterusnya membataskan pergerakannya selain akan berdarah apabila dia merasa tertekan dan menangis.

Bapanya, Zaidi Shabudin, 45, berkata, keadaan itu akan berlaku sekiranya mereka bercakap mengenai usaha membawanya ke hospital untuk menjalani rawatan susulan termasuk kimoterapi.

“Dia akan menangis dan darah akan menitik keluar daripada bonjolan daging di mata kirinya. Kami terpaksa berikan dia minum air daripada produk makanan tambahan berasaskan cendawan Lingzhi bagi menghentikan darah itu daripada terus keluar,” katanya.

Beliau ditemui ketika program ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar di rumahnya di Pangsapuri Sri Cempaka, Bukit Sentosa di Bukit Beruntung, hari ini.

Menurut ibunya, Rohayu Sulaiman, 39, Adam seakan tidak dapat menerima mata kirinya sudah tiada.

Beliau berkata, dia sendiri tidak menyangka Adam yang sering mengadu sakit kepala sejak berusia enam tahun dan sering terlanggar sesuatu ketika berjalan menjadi tanda awal kanser mata.

Katanya, paling ketara pada hujung September tahun lalu apabila Adam mengadu sakit kepala dan mata kirinya kemerahan sebelum disahkan menghidap kanser mata tahap empat.

“Keadaan itu membataskan pergerakan Adam dan kami tidak membenarkan dia keluar rumah untuk bermain bersama rakan lain bagi mengelak jangkitan kuman atau risiko bahaya sekiranya bahagian yang membengkak itu terkena objek tajam,” katanya.

Sementara itu, Harumaini berkata, keluarga itu disenarai sebagai asnaf dan menerima bantuan bulanan RM500 daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) termasuk barangan keperluan harian.

Katanya, Zaidi hanya bekerja tukang kebun di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Bukit Sentosa dengan pendapatan RM1,000 sebulan sementara Rohayu mengambil upah sebagai pengasuh kanak-kanak di rumahnya.

“Saya menyarankan Adam segera dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan seperti disyorkan sebelum ini.

“Jika bapanya sanggup cuti untuk jaga Adam sepanjang tempoh rawatan selama empat bulan seperti yang diperuntukkan pihak hospital, saya sedia tampung perbelanjaan RM500 sebulan untuk keperluan keluarganya,” katanya.

Harumaini turut menghadiahkan sebuah televisyen baharu untuk Adam bagi menggantikan televisyen lama yang rosak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam bernombor 12207020243872 atas nama Zaidi.

Disiarkan pada: May 22, 2018 @ 10:35pm
d