utama

Kalau tak nak support, jangan hina...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“TAK perlulah nak hina kalau tak berkemampuan dan kalau ikhlas ingin 'support' tak semestinya beliau mesti beli, ada macam-macam cara lagi untuk 'support'," luah pelakon, Que Haidar di Instagram bagi menjawab status dimuat naik pengguna laman sosial yang dianggap keterlaluan.

Pemilik akaun itu dengan menggunakan perkataan lucah, menyifatkan baju Melayu yang dijual Que terlalu mahal.

Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 39, berkata, dia tidak menjangka masih wujud individu bersikap sedemikian pada zaman sekarang.

"Assalamualaikum semua, ingin berkongsi sikit, masih ada orang yang macam ini. Saya tidak pernah paksa beliau untuk 'support' saya atau beli daripada saya.

"Selalu orang tua saya pesan, ukur baju di badan sendiri dan ikut kemampuan kita. Masih ada yang berpatutan harga, tetapi tak ditanya, yang ditanya baju eksklusif jadi saya pun beritahu harga. Namun diburuk-burukkan saya," katanya.

Menerusi status sama, Que yang juga pelakon Ophilia menafikan dakwaan dirinya tidak ada tawaran bekerja seperti didakwa pemilik akaun itu.

"Mengenai diri saya yang tak laku itu, Alhamdulillah Allah masih kurniakan rezeki yang halal untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah, berniaga ini saya buat hanya pada Ramadan dan memang kebanyakan barang yang saya jual sangat eksklusif dan terhad.

"Saya sudah tujuh tahun berniaga pada Ramadan di Bangsar Shopping Centre dan tahun ini saya fikir ingin luaskan sedikit perniagaan. Jadi, saya buka satu lagi di Angsana Johor Bahru.

"Memandangkan saya memang ada pelanggan dari Johor dan Singapura yang menginginkan saya buka di Johor tahun ini, supaya tak jauh untuk mereka membeli belah dengan saya," katanya.

Status yang dimuat naik semalam, mendapat lebih 3,000 'likes' dan hampir 600 komen.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 1:54pm
d