utama

Bekas gitaris Ekamatra dijel 10 tahun

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

BEKAS gitaris kumpulan rock 90-an Ekamatra, dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini, atas kesalahan menyebabkan kematian wanita warga emas ketika memecah masuk ke rumah mangsa, Februari lalu.

Hakim Juraidah Abbas menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Md Nurul Azman Salilholdin@Salilhaldin, 44, mengaku salah atas pertuduhan tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian ke atas Kau Fu Eng, 71, antara 2 petang hingga 6 petang, 25 Februari lalu di rumah di Taman Malaysia, Alor Setar.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rehab Abdul Shukur, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Rehab meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal ke atas tertuduh kerana mengambil kira kepentingan awam.

Menurutnya, kesalahan dilakukan tertuduh sangat berat dan serius serta bukan sahaja kesalahan melanggar batas undang-undang tetapi juga tidak berperikemanusiaan kepada mangsa dan keluarganya.

"Hukuman diberikan ini tidak dapat menggantikan satu nyawa yang hilang, namun saya mohon mahkamah memberi isyarat jelas kepada masyarakat bahawa kesalahan ini serius, di mana dalam kes ini kepentingan awam perlu diambil berat berbanding individu," katanya.

Sementara itu, dalam rayuannya, Md Nurul Azman meminta mahkamah menetapkan tarikh hukuman penjara ditetapkan mengikut tarikh dia ditahan.

Dia turut menyatakan rasa kesal dan insaf di atas perbuatan dilakukannya itu.

"Saya juga meminta menjalani hukuman di Penjara Kajang bagi memudahkan keluarga melawat kerana saya berasal dari Johor dan ahli keluarga menetap di Kuala Lumpur," katanya.

Juraidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dari tarikh tertuduh ditangkap setelah berpuas hati dengan hujahan daripada pihak pendakwaan selain pengakuan bersalah tertuduh itu sendiri.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 3:13pm
d