utama

'Saya gurau je...'

Oleh Najiy Jefri

"SAYA mohon maaf andai status Twitter berkaitan Perdana Menteri mengguris hati mana-mana pihak. Saya tidak bermaksud apa-apa," kata pelakon Johan As'ari yang dikecam netizen selepas memuat naik status: "Cuba Check Rumah Tun, Mesti Banyak Juga Duit", baru-baru ini.

Johan ketika dihubungi berkata, dia tidak berniat buruk sebaliknya sekadar bergurau dan tidak menjangka perkara itu mengundang kemarahan netizen.

"Saya amat mengagumi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) . Saya menyifatkan Tun M seorang yang pintar, begitu juga dengan pemimpin terdahulu yang mempunyai kelebihan tersendiri.

"Sebagai rakyat biasa, status yang dimuat naik itu hanya sekadar ‘trigger’ diri saya untuk sentiasa ambil berat kepada para pemimpin, lebih-lebih lagi apabila berkait isu rumah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib yang digeledah oleh pihak polis berhubung siasatan kes 1MDB," katanya.

Menurut Johan, dia sebenarnya kasihan melihat Datuk Seri Najib dan keluarganya yang berdepan cabaran berat ketika ini.

"Saya kasihan melihat Datuk Seri Najib dan keluarganya. Apapun saya ingin mohon maaf sekali lagi andai saya mengurus hati ramai pihak.

"Bagi saya, biarlah pihak berkuasa yang menghakimi isu terbabit. Sebagai rakyat Malaysia, jadilah manusia yang intelektual dan jangan hakimi seseorang selagi belum disabitkan salah. Kita tunggu dan lihat," katanya.

Ditanya mengenai kecaman teruk yang diterimanya, Johan mengaku tidak ambil peduli sebaliknya membiarkan netizen terus menghentam.

"Saya tak pernah ambil peduli dengan setiap tohmahan yang datang. Saya hanya akan balas komen yang positif saja," katanya.

Terdahulu tindakan Johan yang memuat naik status di Twitter mengundang kemarahan netizen yang tidak berpuas hati dengan kenyataan pelakon itu.

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 5:58pm
d