utama

Wang tunai lebih RM100 juta selesai dikira

Oleh Safeek Affendy Razali

JUMLAH keseluruhan wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas di Pavilion Residences, Bukit Bintang, minggu lalu dianggarkan berjumlah lebih RM100 juta

Sumber berkata, pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sudah menyelesaikan tugas mengira wang tunai yang dirampas di Menara KPJ, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, pagi tadi.

“Proses mengira wang tunai bermula pada Isnin kerana penyiasat memerlukan masa berjam-jam untuk memastikan proses dilakukan dengan teliti.

“Sebanyak 35 beg mengandungi wang tunai dikira oleh anggota polis dengan bantuan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM). Jumlah keseluruhannya adalah lebih RM100 juta,” katanya.

Beg berkenaan adalah antara 284 kotak yang diisi dengan beg tangan berjenama, jam tangan, barang kemas dan wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dirampas dalam pemeriksaan ke atas tiga unit kondominium mewah terbabit.

Pemeriksaan itu dibuat sebagai sebahagian daripada proses siasatan polis ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sementara itu, Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, enggan mengulas lanjut mengenai jumlah wang yang diperiksa berikutan siasatan masih dijalankan.

“Maaf... pada masa ini saya tidak dapat memberikan pengesahan mengenai jumlah wang tunai yang sudah selesai dikira kerana siasatan masih berjalan.

“Saya akan menyatakannya dalam sidang media yang akan datang berhubung perkembangan terkini siasatan,” katanya.

Isnin lalu, proses pengiraan 11 beg mengandungi wang tunai dijalankan oleh JSJK bermula 10 pagi dan berakhir pada 8.30 malam, sebelum proses pengiraan 16 lagi beg berjalan semalam.

Hari ini sebanyak lapan lagi beg dikira oleh JSJK sebelum kesemuanya diserahkan kepada BNM dengan kawalan ketat pihak polis.

Berita berkaitan

Wang tunai dalam 11 beg selesai dikira... [METROTV]

Wang tunai belum selesai dikira...

Disiarkan pada: May 23, 2018 @ 7:14pm
d