utama

'Abang reda pemergian adik pada Ramadan' [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

“KALI terakhir adik menghubungi saya pagi semalam, dia kejut bangun sahur,” kata Lasanin Layai, 25, abang kepada Wamasaria, 22, yang maut dalam kemalangan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, semalam.

Penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kimia Industri itu membonceng motosikal rakannya, Nurul Fariza Natasha Sapuan, 22, terbabit kemalangan dengan sebuah bas USIM.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terjatuh dan digilis manakala Nurul Fariza cedera ringan, dalam kejadian pada 5.45 petang.

Menurut Lasanin, dia mengetahui kejadian selepas dimaklumkan oleh kakaknya yang sebelum itu menerima panggilan daripada seorang rakan Wamasaria pada 6 petang.

“Ketika itu, saya sedang bekerja di Bandar Baru Bangi. Apabila diberitahu mengenai kejadian menimpa adi, saya sangat terkejut dan tidak percaya.

“Saya menghubungi semula rakan adik saya itu dan diberitahu mayat sudah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ),” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HTJ di Seremban, hari ini.

Lasanin yang sebagai pengurus butik itu berkata, rutin adiknya sepanjang Ramadan ini menghubungi dan mengejutnya untuk bersahur, malah mereka merancang untuk berbuka puasa bersama seorang lagi adik yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, minggu depan.

Ditanya mengenai adiknya yang juga anak kesembilan daripada 11 beradik itu, Lasanin menyifatkan arwah seorang yang ceria dan suka bergurau, malah mereka sangat rapat serta selesa berkongsi cerita.

“Saya reda dengan pemergian adik di bulan yang mulia ini. Saya mendoakan yang baik-baik untuknya,” katanya.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di sebelah kubur arwah ibu bapa mereka di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kitagas, Sandakan, Sabah, yang dijangka esok.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan dalam kenyataan berkata, pihaknya memberi komitmen sepenuhnya untuk menguruskan dan menanggung kos penerbangan membawa pulang jenazah ke kampung halaman.

Menurutnya, jenazah akan dibawa ke Kompleks Islam Tuanku Muhriz USIM untuk solat jenazah sebelum diterbangkan ke Sandakan untuk dikebumikan.

“Kami melahirkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga arwah. Kami menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis dan segala tindakan bersesuaian terutamanya aspek pencegahan serta kesedaran keselamatan jalan raya akan diambil dalam masa terdekat,” katanya.

Katanya, USIM juga akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada Nurul Fariza yang masih trauma dengan kejadian itu manakala pemandu bas diberi rehat sementara daripada memandu kenderaan universiti berkuat kuasa serta-merta sehingga selesai siasatan oleh pihak polis.

Berita berkaitan

Maut digilis bas

Disiarkan pada: May 24, 2018 @ 10:14pm
d