utama

Pantang dicabar

Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: “Saya pantang dicabar dan tidak pernah menjadikan perasaan takut sebagai halangan,” kata penggiat lasak Marlina Yusoff, kini berusia 58 tahun.

Marlina atau lebih mesra dipanggil Ibu Yoko Marlina dalam kalangan kenalan berkata, prinsip itu dipegang ketika aktif dalam sukan lasak sejak 14 tahun lalu, membantunya mencapai banyak kejayaan.

Apa yang membanggakan setakat ini, Marlina menawan 30 puncak bukit dan gunung selain meneroka 20 gua di seluruh negara.

Malah ramai tidak menyangka Marlina, sebenarnya enam kali menakluk puncak Gunung Kinabalu selain menjejakkan kaki ke Everest Base Camp (EBC) di Nepal pada 2016.

“Kejayaan itu hasil pengorbanan selama ini, kerana tanpa semua itu impian tidak menjadi kenyataan. Aktiviti mendaki bukan perkara mudah kerana ia memerlukan semangat serta ketahanan fizikal dan mental untuk menakluki puncak.

“Saya kerap berkata kepada diri jangan cepat mengalah kerana yakin semangat kuat mampu membuahkan hasil,” katanya.

Selain menghabiskan masa dengan mendaki, Marlina juga gemar melakukan aktiviti lasak seperti rope swing, abseiling, rock climbing, repeilling, cascading, treeclimb dan meneroka gua.

Dia berkata, usia bukan penghalang melakukan perkara yang mustahil, malah pembabitan dalam aktiviti lasak mengubah persepsi wanita bukan insan lemah.

“Wanita secara luaran nampak lembut, tetapi mereka sebenarnya ada hati dan jiwa kental serta keras lebih-lebih lagi orang berusia seperti saya.

“Buat masa ini, aktiviti santai wanita bukan sekadar bermain boling atau menonton wayang semata-mata. Kami mampu memberi tamparan hebat kepada lelaki. Apa saja jenis sukan lasak yang dipelopori lelaki, wanita juga mampu memberi saingan,” katanya.

Bergerak aktif dalam aktiviti lasak selepas kematian suami, Muhammad Rosidy Mat Ali pada 2006, wanita itu berkata, dia paling gemar menjelajah gua.

“Di dalam gua banyak aktiviti lasak yang boleh dilakukan seperti mendaki cerun, selain melihat elemen di persekitaran yang sungguh menakjubkan.

“Selain itu, saya juga suka rock climbing dan tree climb kerana tidak ramai wanita seusia saya yang melakukannya. Lagipun, aktiviti ini memerlukan tenaga kaki dan tangan serta mentaliti kuat,” katanya.

Wanita itu berkata, selain seronok melepasi setiap cabaran dan meneroka keindahan alam dia juga dapat menambah kenalan.

“Ramai kenalan saya orang muda, tapi tak susah pun nak bergaul dengan mereka. Malah mereka anggap saya sebagai ibu,” katanya.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, sokongan anak lelaki dan adik perempuannya menyebabkan dia bersemangat untuk aktif dalam sukan lasak.

“Disebabkan saya jenis tidak boleh duduk diam, saya pastikan aktiviti harian dipenuhi dengan perkara berfaedah untuk kekal bertenaga,” katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 5:35am
d