utama

'Dua hajat dimakbul Allah'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"SAYA bersyukur kerana impian untuk mendapatkan cahaya mata pada usia 60 menjadi kenyataan,” kata Amy Search.

Vokalis kumpulan rock legenda terbabit berkongsi berita gembira itu apabila isteri, Norhasniza Hassan (Norish) kini disahkan hamil sebulan.

Sebelum ini, Amy gembira kerana perancangan untuk menawan Annapurna Base Camp (ABC) di Nepal yang mempunyai altitud lebih 4,000 meter dari aras laut tercapai.

Amy turut melahirkan rasa syukur kerana Norish belum mengandung ketika terbabit dalam misi ke negara terbabit pada pertengahan April lalu yang mungkin boleh memberi kesan terhadap kandungan.

"Dia sebelum ini hanya dapat merasakan kelainan pada dirinya. Saya kemudian mendapatkan alat penguji kehamilan untuk menguji air kencing Norish namun penunjuk dicatatkan kurang jelas.

"Ujian kedua sehari selepas itu pada sebelah pagi memberi petanda jelas.

"Kami kemudian berjumpa doktor dan mendapat pegesahan Norish mengandung. Perasaan gembira saya ketika itu sukar digambarkan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Berita itu turut dikongsi Amy di laman sosial Instagramnya.

Amy berkata, setakat ini Norish berada dalam keadaan stabil dan banyak berehat.

"Dia okay dan sibuk menguruskan kedai kami yang diusahakan di pusat beli belah di Kuala Lumpur sepanjang Ramadhan.

"Apa dilakukan bukanlah memenatkan kerana turut dibantu oleh pekerja," katanya.

Amy dan Norish berkahwin pada 2003.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, 14, Sania Samara, 13, dan Qaqa At-Tameemi, 9 tahun.

Amy turut mempunyai dua lagi anak iaitu Nabila Huda, 34, hasil perkahwinan pertama dengan Faridah Fadzil dan Irisha Myra, 21, daripada perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad.

Perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul Latiff tidak dikurniakan cahaya mata.

Amy memberitahu akan tetap meneruskan misi menawan Gunung Everest tahun depan meskipun Norish tidak dapat menyertainya.

"Alhamdulillah, penyertaan peminat sudah penuh iaitu seramai 32 orang.

"Ada dalam kalangan mereka pernah bersama saya dalam misi ABC tetapi kebanyakannya orang baru," katanya.

Disiarkan pada: May 25, 2018 @ 6:29pm
d