utama

Misi kekang bintang

Oleh AFP

Kiev, Ukraine: Liverpool yang memperoleh inspirasi Mohamed Salah berdepan tugas getir menghalang Real Madrid daripada menjulang trofi ketiga berturut-turut Liga Juara-Juara pada aksi final, di sini.

Real sentiasa dilihat pencabar di kejuaraan elit Eropah itu sejak memenangi lima gelaran Piala Eropah berturut-turut di era 50-an dan kali ini, kelab gergasi Sepanyol itu di landasan mencipta satu lagi sejarah untuk memenangi empat gelaran Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun.

Sepanjang empat musim lalu, tiada siapa di antara Atletico Madrid (dua kali) atau Juventus mampu menghalang penyerang, Cristiano Ronaldo daripada memalit kekecewaan terhadap mereka di pentas final.

Tetapi, kualiti serangan The Reds memberikan mereka alasan untuk percaya betapa Stadium Olimpik di ibu negara Ukraine itu boleh menjadi memori yang sukar untuk dilupakan.

Berpandukan sejarah, aksi final membabitkan Liverpool dan Real boleh dianggap final idaman dengan kedua-duanya mengumpul 17 gelaran di antara mereka.

Selepas kali terakhir menjulang trofi kelima di Istanbul pada 2005 menewaskan AC Milan, perjalanan Liverpool ke pentas final musim ini boleh dianggap menakjubkan termasuk dengan menyingkirkan calon utama, Manchester City.

Sepanjang kempen Liga Juara-Juara musim ini, mereka sudah meledak 46 gol dengan Salah menyumbang 11 gol menyaksikan bintang Mesir itu mengumpul keseluruhan 44 gol dalam semua kejohanan sejak tiba di Anfield dari Roma, tahun lalu.

“Jika kami menjuarainya, perjalanan ke Kiev ditambah aksi final akan menjadi salah satu perjalanan yang paling luar biasa,” kata Klopp di laman web Liverpool. “Setakat ini, ia memang menakjubkan.”

Berpandukan rekod, Klopp tewas dalam lima perlawanan final utama selaku jurulatih termasuk final Liga Juara-Juara 2013 ketika Borussia Dortmund menentang Bayern Munich dan final Liga Europa 2016 menyaksikan Liverpool tewas kepada Sevilla.

Pengalaman membuatkan The Reds menjadi pasukan bukan pilihan di Kiev dengan tiada seorang pun pemain dalam skuad sedia ada pernah merasai aksi final Liga Juara-Juara, tetapi Klopp tahu bos Real, Zinedine Zidane tetap bimbang dengan skuad kendaliannya.

“Adakah Real Madrid, duduk di Madrid ketika ini dan berfikir, ‘Syukur kepada tuhan ia adalah Liverpool!’? Saya tidak boleh membayangkannya,” kata pengurus dari Jerman itu.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 4:36am
d