utama

Nasi lemak Korea Selatan

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: “Pernah satu tahap, kami langsung tidak ada wang hingga terpaksa mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk mengalas perut,” kata ibu empat cahaya mata, Sri Rahayu Baderi, 35, yang kini menjalankan perniagaan nasi lemak sepenuh masa di Korea Selatan.

Kesungguhan wanita itu dan suaminya berbaloi apabila permintaan terhadap nasi lemak mereka kini semakin meningkat dengan hasil jualan bulanan mencapai tiga juta won (RM11,000).

Sri Rahayu berkata, pengalaman itu dilaluinya sewaktu memulakan kehidupan di Korea Selatan bersama suami, Norhelmy Hanif, 35, dan empat anak mereka yang berusia antara lima hingga lapan tahun.

Katanya, ketika itu, dia dan suami baru bekerja sebagai pembantu di sebuah rumah tamu di Byeongjeom dan kekangan kewangan menyebabkan mereka enam beranak hidup dalam kesempitan.

Menceritakan pengalamannya, Sri Rahayu berkata, sebelum berhijrah ke Korea Selatan pada Januari tahun lalu, dia menjadi suri rumah manakala suami bekerja sebagai penyelia ladang buah di Australia.

“Namun, suami nekad berhenti kerja dan mengajak saya ke Korea Selatan kerana mahu keluar daripada zon selesa.

“Pada mulanya kami bekerja sebagai pembantu rumah tamu tetapi selepas sebulan, kami terpaksa pulang ke Shah Alam memandangkan empat anak di bawah jagaan ibu dan ayah saya ketika itu.

“Bagaimanapun, masalah timbul apabila majikan ketika itu tidak membayar gaji penuh hingga saya terpaksa pulang semula ke Korea Selatan bersama anak bongsu, Qaiser Afiq dan meninggalkan suami dengan tiga anak yang lain di Malaysia,” katanya.

Sri Rahayu semakin buntu apabila gagal mendapat pekerjaan di rumah tamu terbabit sekembalinya ke Korea Selatan dan memandangkan tiada pilihan, dia membuat keputusan menjual nasi lemak bermodalkan wang simpanan yang ada sebanyak 50,000 won (RM183.90).

Bekas akauntan itu berkata, mereka dua beranak bernasib baik kerana rakan membantu menyediakan tempat berteduh selama dua minggu tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Apa saya fikirkan ketika itu hanyalah mencari wang untuk meneruskan kehidupan bersama anak bongsu. Jadi berbekalkan wang yang ada, saya gunakannya untuk membeli bahan menghasilkan nasi lemak.

“Kemudian saya dan anak bersama-sama membawa bungkusan nasi lemak untuk dijual di kaki lima. Memang sukar untuk menjual nasi lemak di situ malah selepas sejam, baru ada yang datang membeli.

“Namun, saya tidak berputus asa dan kesabaran itu berbaloi apabila pelanggan semakin bertambah terutama dalam kalangan pelajar Malaysia di sana. Sekarang tempahan meningkat kepada 400 bungkus sehari berbanding cuma 30 bungkus saja ketika baru mula berniaga,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir sebulan, suaminya kembali bersama tiga anak yang lain dan cabaran ketika itu untuk bekerja pada sebelah siang di rumah tamu yang lain di Myeongdong dan menyediakan nasi lemak untuk dijual keesokan harinya.

Dia memberitahu rasa penat sememangnya ada tetapi terpaksa diketepikan demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga di negara berkenaan.

Menurutnya, kini dia dan suami boleh menguruskan perniagaan dengan lebih baik kerana mendapat bantuan dua pelajar Malaysia yang bertanggungjawab mencari pelanggan.

“Meskipun keluarga pada awalnya tidak menyokong kami berhijrah ke sini, saya boleh katakan penghijrahan ke Korea Selatan adalah satu keputusan yang tepat,” katanya.

Disiarkan pada: May 26, 2018 @ 6:22am
d