utama

'Saya bukan paling bijak, tapi mahu cetus inspirasi'

Oleh Ahmad Suhael Adnan

KESEMPITAN hidup keluarga tidak menghalang Mohd Amirul Afiq Ameruddin untuk mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi rakyat Malaysia ketiga bergelar graduan Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat (USAFA).

Mohd Amirul Afiq, 24, yang mula menyertai USAFA pada 2014, berjaya menamatkan pengajiannya di akademi tentera terkemuka dunia itu pada 22 Mei lalu

Berkongsi kegembiraannya di laman Twitter miliknya semalam, anak kelahiran Negeri Sembilan itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada ibunya yang menjadi pendorong kejayaannya berkenaan.

“Terima kasih kerana selalu ada di sisi. Saya sayang awak. Harap saya buat awak bangga. Semuanya untuk mama,” katanya.

Mohd Amirul Afiq turut berkongsi pengalamannya membesar dalam keluarga serba kekurangan dan bergantung kepada wang pencen datuknya yang juga bekas tentera.

Katanya, ibunya pula bekerja di restoran dan hotel di ibu negara serta hanya mampu pulang ke Negeri Sembilan sekali setiap bulan.

“Keluarga saya okaylah. Dapat bantuan RMT (Rancangan Makanan Tambahan) dan baju sekolah. Jadi pergi sekolah atuk bagi 70 sen saja atas meja.

“Sebelum ini dalam kalangan anak cucu atuk saya, dapat 1A UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah) pun sangatlah bangga, tapi Alhamdulillah saya berjaya pecah rekod keluarga walaupun latar belakang keluarga miskin dan biasa untuk dapat 5A UPSR.

“Cucu atuk pertama masuk asrama penuh selepas itu di Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan kesukaran menyesuaikan diri dengan suasana baharu di sekolah itu, namun dia tidak menjadikannya sebagai halangan untuk berjaya dalam pelajaran.

Bermula dengan kedudukan ketujuh terbaik semasa di Tingkatan Dua, katanya, dia kemudian berjaya mendapat A bagi semua mata pelajaran untuk Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), selain kedudukan 20 terbaik untuk Ujian Bahasa Perancis Diplome d'etudes en langue francaise (DELF A1).

Mohd Amirul Afiq kemudian melanjutkan pengajiannya ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sebelum berjaya melepasi saringan ketat untuk ditawarkan menyertai USAFA bermula Jun 2014.

“Saya bukanlah paling bijak, tapi saya harap dapat mencetus inspirasi kepada rakyat Malaysia yang berfikir mereka tidak mampu melakukan sesuatu yang mustahil,” katanya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 12:53am
d