utama

Gurauan janji jadi haram

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Tuah berganding dengan penyanyi lelaki, lagu dendangan Dayang Nurfaizah pasti menjadi hit dan diminat ramai. Bermula dengan Pejamkan Mata alunan bersama Malique Ibrahim dan terbaru, Haram yang menyaksikan gandingan mantap Dayang dan Hael Husaini.

Ternyata kolaborasi bersama Hael menjadi fenomena. Sebaik Haram dipasarkan dan dimuat naik ke laman sosial, ia terus ‘trending’ dan berada di tempat teratas carta lagu paling laris serta diminati.

Dalam sesi fotografi khas baru-baru ini, Dayang menjelaskan dia tidak menyangka gandingannya dengan penyanyi dan komposer muda itu menjadi.

“Kali pertama dengar lagu Haram dan sepanjang proses rakaman, saya yakin dengan karya ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong ini,” katanya.

Tidak dinafikan sebaik Haram diperdengarkan dan Dayang diperkenalkan sebagai rakan duet Hael, ramai terkejut dan tertanya-tertanya mengapa Dayang bersetuju untuk bekerjasama dengan pemenang Anugerah Juara Lagu 32 (AJL32) itu.

Adakah kerana status yang mana sebelum itu Dayang penyandang juara Anugerah Juara Lagu 31 dan sebaiknya juara bergandingan dengan juara untuk tahun ini?

Dayang hanya ketawa mendengar spekulasi itu dan mengakui ia pernah menjadi usikan dan gurauannya dengan Hael memandangkan mereka pernah ‘cakap kosong’ mahu berduet bersama.

“Ketika itu kalau tak salah saya ketika majlis sidang akhbar Separuh Akhir Muzik Muzik 32. Hael kata dia mahu berduet dengan saya, dan saya cakap tunggu dia jadi juara.

“Seperkara lagi, ketika itu saya memang tahu lagu Jampi ciptaan dan dendangannya pasti menang pada malam AJL32. Ternyata rezeki menyebelahi Hael apabila dia muncul sebagai juara,” katanya.

Kata Dayang, dia tidak sangka pula gurauannya itu dipahat kemas dalam ingatan Hael dan sehari sebelum AJL32 berlangsung, dia menyuarakan sekali lagi keinginannya untuk berduet dan perkara itu diluahkan kepada wakil syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd.

“Wakil Indigital meminta Hael menghubungi pengurusan saya dan esoknya, selepas memenangi AJL32, dia benar-benar menghubungi pengurus saya,” katanya.

Hakikatnya, sebagai penyanyi Dayang jarang menghasilkan lagu duet. Kali terakhir Dayang berduet ialah dengan Datuk Ramli Sarip tetapi lagu yang dimuatkan dalam album penyanyi digelar Papa Rock itu tidak dipilih menjadi single dan ramai tidak mengetahuinya.

Sebagai penyanyi berpengalaman, sudah tentu Dayang cerewet menentukan pasangan duetnya, apatah lagi dengan penyanyi muda seperti Hael.

Menjelaskan mengenai perkara itu, Dayang berkata, dia menghormati kerja keras, usaha dan kesungguhan yang ditunjukkan Hael. Malah, penyanyi itu tidak berputus asa mempelawa Dayang untuk bekerjasama.

“Selain itu, Haram karya yang berbeza. Melodinya balada tetapi susunan muziknya sangat moden dan terkini. Karya ciptaan Hael dan Ezra berjaya memenangi hati saya.

“Vokal juga menjadi faktor penentu kerana dalam penghasilan lagu duet, keserasian vokal amat penting.

“Antara elemen lain yang saya nampak menjadi faktor lagu ini akan digemari ramai adalah lirik dan judulnya. Haram membuatkan orang hendak tahu apa sebenarnya isi lagu ini. Apabila sudah dengar liriknya, pendengar akan ‘terikat’ untuk terus menghayati,” katanya.

Kata Dayang lagi, kesederhanaan susunan lagu dan liriknya yang mudah serta mampu mengikat pendengar membuatkan ia boleh diterima ramai.

“Bagaimanapun perkara paling penting sehingga Haram boleh muncul sebagai lagu popular, pada pandangan saya adalah kerana ia muncul pada waktu dan masa yang tepat. Tambahan pula Hael dinobatkan komposer terbaik AJL32 dan banyak karyanya sebelum ini diminati ramai,” katanya.

Berkolaborasi dengan Hael secara tidak langsung membuktikan bahawa Dayang tidak pernah meletakkan ‘tembok’ dengan penyanyi lain mahupun komposer.

Tentu dengan kejayaan lagu duet Dayang bersama Malique dan Hael, akan ada penyanyi baru dan muda menyimpan impian mahu bekerjasama dengan pemenang anugerah vokal terbaik tiga tahun berturut-turut Anugerah Juara Lagu ini. Apakah syarat atau perkara penting yang diberikan penekanan oleh Dayang sebelum satu-satu projek duet itu boleh dilaksanakan?

“Pertama, sudah tentulah lagu yang bakal kami dendangkan itu sesuai untuk kedua-dua pihak. Penyanyi yang mahu berduet dengan saya harus faham apa itu duet kerana ia bukan medan untuk menonjolkan kekuatan vokal antara satu sama lain dalam sebuah lagu.

“Harus diingatkan duet adalah perkongsian. Kalau ada yang ajak berduet tetapi apabila menyanyi, ia lebih menonjolkan seorang penyanyi saja, tidak guna juga,” katanya.

Kata Dayang lagi, paling penting paduan suara harus sesuai dan dia juga meneliti kredibiliti rakan duetnya.

Disiarkan pada: May 27, 2018 @ 4:38am
d