utama

Kulit, mata makin kuning

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Ketika orang lain lena diulit mimpi, Abdul Salam Amir Hamzah Maju, 29, dan isterinya, Siti Sarah Othman, 29, terpaksa bersengkang mata menjaga bayi mereka yang kerap terjaga pada waktu malam berikutan menghidap kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Abdul Salam berkata, Hana Sofea, 9 bulan, kerap meragam dan menangis terutama pada waktu malam disebabkan tidak selesa, selain minum susu menggunakan tiub yang dipasang melalui hidung ke perut disebabkan penyakit yang dialaminya itu sejak lahir.

“Ini dapat dilihat apabila dia kerap menangis, sukar tidur dan cepat penat.

“Tumbesarannya terbantut. Menyusu pun dia kurang sebab itu doktor menyarankan pakai tiub yang dimasukkan melalui hidung ke perut,” katanya.

Menurutnya, anak keduanya itu pernah menjalani pembedahan pintasan pada Oktober tahun lalu, namun keadaannya tidak berubah.

“Setiap bulan kami ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk membuat rawatan susulan.

“Namun, semakin lama keadaannya tetap sama malah kulit dan matanya semakin kuning, najisnya pucat, perut kembung dan badannya semakin susut,” katanya.

Kata penjawat awam itu, pakar perubatan mencadangkan bayinya segera menjalani pemindahan hati di China selepas Aidilfitri ini bagi mengelak keadaan kesihatannya bertambah buruk, namun mereka mempunyai kekangan untuk menyediakan kos RM250,000.

“Saya dan isteri sesuai menjadi penderma hati anak, namun siapa yang layak diputuskan pakar perubatan di China nanti.

“Setakat ini kami cuma mampu menyediakan RM50,000 hasil sumbangan keluarga dan rakan. Jadi kami tidak meminta lebih melainkan mengharapkan belas ihsan rakyat Malaysia supaya dapat menyumbang seikhlas hati buat kelangsungan hidup anak kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin meringankan beban pasangan berkenaan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 162834011539 atau CIMB 7047200483 atas nama ibu bayi itu, Siti Sarah Othman atau Bank Rakyat 221121142721 (Abdul Salam Amir).

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 7:49am
d