utama

Hampir putus empat jari

Oleh Mohammad Ishak

PELAJAR Orang Kurang Upaya (OKU) dipercayai menjadi mangsa pertama kes mercun di Terengganu, tahun ini.

Muhammad Ridwan Abdul Rashid, 16, dari Kampung Nail, Kuala Besut, hampir putus empat jari sebelah kanan akibat terkena letupan mercun buatan sendiri.

Dalam kejadian 8.45 malam semalam, mangsa sedang memasukkan belerang mercun bola ke dalam botol kaca, sebelum ia meletup menyebabkan empat jarinya parah.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut itu dikatakan bermain mercun di halaman rumah bersama 10 rakannya.

Abang mangsa, Azlan Shah Abdul Rashid, 34, berkata, sebelum kejadian, mangsa memasukkan belerang menggunakan kertas untuk memantapkan belerang di dalam botol.

Katanya, ketika mangsa cuba menyalakan mercun berkenaan, tiba-tiba ia meletup dan mencederakan tangan kanannya.

Beliau berkata, adiknya kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan dan kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi berkata, pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: May 28, 2018 @ 4:11pm
d