utama

Lia tidak terburu-buru

Oleh Norhayati Nordin

Ketika sesi fotografi bersama RAP baru-baru ini, pelakon Lia Natalia, 26, hadir dengan imej berbeza iaitu berambut pendek.

Apa agaknya kisah yang berlaku hingga gadis kelahiran Sabah ini sanggup memotong rambutnya?

Bagaikan dapat mengagak apa yang cuba ditanya, Lia pantas menepis dengan menjelaskan perubahan imej itu tiada kaitan langsung dengan kisah cintanya.

Lia berkata, hubungannya dengan kekasih, Azizi Rahman Mamun, 26, baik seperti biasa.

“Alhamdulillah, sudah lebih setahun kami bercinta. Jangan salah anggap dengan imej baru ini dan cuba kaitkan saya dengan masalah dalam percintaan atau kecewa.

“Ia tidak berlaku sama sekali kerana hubungan saya dan Azizi lancar. Cuma, kami belum ada kata putus untuk menetapkan hari perkahwinan.

“Bukan mahu elak berkahwin tetapi buat masa sekarang banyak perkara yang perlu kami beri keutamaan terlebih dahulu,” katanya.

Berbicara lanjut mengenai perkara itu, Lia atau nama sebenarnya Alia Afiqah Abden berkata, sudah semestinya tumpuan untuk kerjaya yang stabil dan kukuh.

“Kami perlu memikirkan perancangan masa depan yang baik selepas perkahwinan terutama persediaan ke arah membina keluarga.

“Kerjaya yang stabil penting untuk kewangan. Jadi, adalah wajar untuk kami mantapkan kerjaya dan memiliki aset seperti kediaman dulu,” katanya.

Menurut pelakon drama Perempuan Dalam Pasungan ini, keputusan membabitkan urusan perkahwinan tidak boleh dibuat secara terburu-buru.

Baginya, kedua-dua pihak iaitu lelaki dan perempuan perlu bersedia. Ini kerana tanggungjawab akan dipikul dalam perkahwinan sangat besar.

Mengakui segala-galanya masih di tahap perancangan, Lia berkata, dia mengharapkan peminat mendoakan yang terbaik buatnya dan kalau memang sudah jodoh tidak akan ke mana.

Katanya, dia kini berambut pendek kerana ingin tampil dengan imej baru dan lebih segar. Ditambah rambut pun banyak yang rosak.

“Jadi, apabila berambut pendek, ia lebih mudah diurus. Tak ambil masa lama pun dan saya sangat selesa.

“Kepala pun agak ringan dan jika ada masalah taklah serabut sangat nak fikir. Imej rambut pendek ini adalah pilihan tepat,” katanya.

Lia berkata, walaupun pada mulanya dia teragak-agak dalam membuat keputusan tetapi selepas rambut dipotong, ia menjadikannya lebih yakin dengan penampilan diri.

Rezeki berlakon masih rancak

Walaupun nama Lia tidaklah popular seperti pelakon wanita lain, dia tidak kisah kerana paling penting tawaran berlakon sentiasa ada.

Mengakui tidak cerewet memilih watak, Lia berkata, dia juga tiada masalah sentiasa diberikan watak pembantu.

“Saya tidak terlalu melihat pada skop watak dilakonkan kecil atau besar. Bagi saya, mendapat tawaran berlakon itu pun sudah besar rezekinya.

“Apatah lagi, industri hiburan masa kini semakin ramai kemunculan bintang baru dan apa yang harus dilakukan ialah berusaha untuk kekal bertahan,” katanya.

Muncul dalam filem Pinjamkan Hatiku dan Buskers tahun lalu, Lia juga puas mendapat peluang beraksi di layar perak.

Berbicara mengenai kerjaya lakonannya kini, Lia berkata, dia muncul dengan projek Marvel untuk platform digital.

Katanya, untuk program bercorak permainan kuiz itu hanya dia dan pelakon Syafie Naswip saja dari Malaysia yang terpilih.

Mengakui fokusnya lebih tertumpu pada projek Marvel berkenaan, beberapa tawaran berlakon lain masih dalam pertimbangan untuk komitmen.

Bakat lakonan Lia mula diketengahkan menerusi program Pilih Kasih musim kedua di RTM pada 2011.

Namun, Lia juga pernah menyertai Pencarian Gadis Muka 2 (GM2) anjuran Harian Metro di Astro Ria pada 2014 lalu.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 8:29am
d