utama

Suspen sungguh... [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KANAK-KANAK nyaris nahas selepas tercampak keluar daripada kereta dinaikinya dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat berhampiran ibu pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Kejadian yang berlaku 8.30 malam itu tular di Facebook selepas video kejadian itu dikongsikan pengguna laman sosial itu.

Difahamkan, mangsa tercampak keluar selepas pintu kereta bahagian penumpang hadapan tiba-tiba terbuka ketika kereta Perodua Axia dinaikinya membelok.

Sebelum itu, kenderaan berkenaan dikatakan berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bagaimanapun, mangsa bernasib baik dan tidak mengalami kecederaan kerana tiada kenderaan lain di belakang kereta dinaikinya.

Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu diselamatkan penunggang motosikal yang kebetulan berada di lokasi.

Bagaimanapun, identiti, jantina dan usia mangsa serta pemandu kereta berkenaan gagal dikenal pasti memandangkan tiada laporan polis dibuat.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi memaklumkan tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan.

"Mungkin punca kejadian hanya disebabkan kecuaian, tiada kaitan dengan jenayah, jadi keluarga tidak membuat laporan polis," katanya.

Disiarkan pada: May 29, 2018 @ 2:46pm
d